MotoGP menuju ke Litar Antarabangsa Lusail bagi Grand Prix Qatar dari 6 hingga 8 November, yang menjadi perlumbaan terakhir musim ini di luar Eropah.
Peminat boleh menyaksikan semua sesi latihan, kelayakan, Sprint dan perlumbaan utama secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Berikut lima fakta menarik menjelang Grand Prix Qatar 2026.
Marquez berpeluang sahkan gelaran dunia
Marc Marquez tiba di Qatar dengan peluang pertama untuk mengesahkan kejuaraan dunia MotoGP kelapannya selepas kemenangan di Malaysia membolehkan dia melebarkan kelebihan kepada 44 mata di depan Jorge Martin.
Lusail bukan gelanggang asing buat pelumba Ducati itu. Marc pernah menang di sini pada 2014 dan 2025, malah turut menjuarai Sprint tahun lalu. Jika berjaya mengulangi kemenangan berganda itu, Marc akan mengutip 37 mata dan mengesahkan gelaran dunia sekiranya Martin hanya meraih tujuh mata atau kurang sepanjang hujung minggu.
Martin sebelum ini menarik diri daripada Grand Prix Malaysia kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan pergelangan tangan. Sekiranya pelumba Aprilia itu turut terlepas perlumbaan Qatar, Marc hanya memerlukan sekurang-kurangnya 30 mata untuk memastikan Martin tidak lagi mampu mengejarnya.
Marco Bezzecchi juga masih mempunyai peluang dalam perebutan gelaran dunia walaupun ketinggalan 67 mata di belakang Marc. Bagaimanapun, jika Marc memenangi kedua-dua Sprint dan perlumbaan utama, peluang Bezzecchi akan berakhir tanpa mengira keputusannya sendiri.
View this post on Instagram
Yamaha tidak sertai GP Qatar
Grand Prix Qatar kali ini berlangsung tanpa kedua-dua pasukan Yamaha selepas pengeluar Jepun itu memutuskan untuk mengekalkan sekatan perjalanan syarikatnya ke Timur Tengah. Yamaha merancang untuk kembali pada Grand Prix Portugal hujung bulan ini.
MotoGP bagaimanapun menegaskan perlumbaan Qatar tetap diteruskan selepas mendapatkan pandangan pihak berkuasa tempatan dan penasihat keselamatan bebas. Penganjur turut mengingatkan bahawa keputusan Yamaha menarik diri boleh membawa implikasi kontrak dan sukan. Sebarang tindakan berkaitan pelanggaran peraturan pertandingan akan ditentukan oleh Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).
View this post on Instagram
Qatar kembali berlumba pada November
Grand Prix Qatar lazimnya berlangsung pada April, tetapi perubahan jadual tahun ini bermakna pasukan perlu bersedia menghadapi keadaan cuaca yang berbeza di Lusail.
Namun, ini bukan kali pertama litar tersebut menganjurkan MotoGP pada November. Perlumbaan Qatar pada 2023 juga diadakan pada bulan yang sama selepas ditunda bagi memberi laluan kepada kerja menaik taraf litar. Fabio Di Giannantonio muncul juara ketika itu untuk meraih kemenangan pertamanya dalam kelas utama.
Suhu siang pada November biasanya lebih rendah berbanding April, sekali gus dapat mengurangkan tekanan fizikal terhadap pelumba selepas menghadapi cuaca panas di Sepang. Walaupun begitu, pasukan masih perlu mengambil kira perubahan suhu pada waktu malam serta tahap cengkaman tayar yang mungkin berbeza antara sesi latihan siang dan perlumbaan malam.
View this post on Instagram
Pemburuan gelaran Moto2 kekal sengit
Perebutan kejuaraan dunia Moto2 kini hanya melibatkan dua pelumba Sepanyol, Manuel Gonzalez dan Izan Guevara, dengan perbezaan 3.5 mata antara mereka.
Gonzalez masih mendahului kedudukan keseluruhan dengan 276.5 mata selepas menamatkan Grand Prix Malaysia di tempat kelima. Guevara pula menduduki tempat keempat di Sepang untuk meningkatkan kutipannya kepada 273 mata.
Dengan tiga perlumbaan berbaki dan maksimum 75 mata masih boleh dikutip, pelumba di tangga ketiga, Ivan Ortola, sudah terkeluar daripada perebutan kejuaraan. Ortola kini mengumpul 199.5 mata, ketinggalan 77 mata di belakang Gonzalez.
Malah, Gonzalez dan Guevara juga belum boleh mengesahkan gelaran dunia di Qatar, bermakna perebutan kejuaraan mereka pasti berlanjutan hingga Grand Prix Portugal.
View this post on Instagram
Juara Moto4 Asia Cup bakal ditentukan
Litar Lusail turut menjadi lokasi penentuan juara Moto4 Asia Cup 2026 apabila dua perlumbaan terakhir musim ini berlangsung di Qatar.
Tiga pelumba masih berpeluang merebut gelaran, dengan Hayato Chishiki dari Jepun mendahului kedudukan keseluruhan menerusi 161 mata. Pencabar terdekatnya ialah Bintang Pranata dari Indonesia dengan 129 mata, diikuti seorang lagi pelumba Jepun, Waku Kunitate, yang mengumpul 121 mata. Chishiki mengukuhkan kedudukannya selepas memenangi perlumbaan Ahad di Sepang, apabila Pranata dikenakan penalti kerana melanggar had litar, manakala Kunitate terjatuh di selekoh terakhir.
Sebanyak 50 mata masih menjadi rebutan dalam dua perlumbaan di Qatar, namun Chishiki berpeluang menamatkan saingan kejuaraan seawal perlumbaan pertama. Tempat kedua sudah cukup untuk memastikan gelaran menjadi miliknya. Dia juga boleh mengesahkan kejuaraan jika menamatkan perlumbaan di depan kedua-dua pencabarnya.
View this post on Instagram



