Maloney catat masa terpantas ujian Formula E GEN4 di Jarama

(ABB Formula E/Facebook)

Zane Maloney muncul pelumba terpantas dalam ujian pramusim Formula E di Jarama, sekali gus mencatat masa penanda aras baharu ketika pasukan menjalani ujian bersama pertama menggunakan jentera GEN4.

Pelumba Nissan itu mencatat masa 1 minit 23.838 saat pada pagi Jumaat, menjadikannya satu-satunya pelumba yang berjaya mencatat masa di bawah 1 minit 24 saat sepanjang tiga hari ujian berlangsung.

Catatan Maloney itu 3.623 saat lebih pantas berbanding masa 1 minit 27.461 saat yang direkodkan Mitch Evans, iaitu catatan terbaik ketika ujian jentera GEN3 Evo di litar Sepanyol tersebut pada November 2024.

Maloney juga mencatat masa 5.565 saat lebih pantas daripada rekod 1 minit 29.403 saat milik Dan Ticktum dalam sesi latihan pembukaan Madrid E-Prix yang julung kali diadakan pada Mac 2026.

Bagaimanapun, perbandingan tersebut turut dipengaruhi keadaan cuaca sejuk dan hujan ketika perlumbaan berlangsung.

Sebagai perbandingan lain, catatan pusingan terpantas perlumbaan Madrid E-Prix ialah 1 minit 32.941 saat oleh Nyck de Vries, iaitu 9.103 saat lebih perlahan berbanding masa ujian Maloney.

Maximilian Gunther dari pasukan Envision menamatkan ujian di tempat kedua, ketinggalan 0.272 saat di belakang Maloney, manakala Evans menduduki tempat ketiga bersama Opel.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Formula E (@fiaformulae)

Kesemua 12 pasukan menyertai program ujian yang berlangsung dari 16 hingga 20 November itu bagi mengumpul data mengenai jentera baharu dan tayar Bridgestone menjelang musim 2026/27.

Pelumba Mahindra, Edoardo Mortara, mencatat masa terpantas pada hari pembukaan dengan 1 minit 24.344 saat sebelum Maloney memperbaiki catatan tersebut pada Jumaat.

Sepanjang ujian, pasukan turut menjalankan simulasi perlumbaan dan menguji prestasi jentera dalam keadaan litar basah pada petang Rabu.

Lapan pelumba terpantas keseluruhan mencatat masa terbaik masing-masing pada sesi pagi hari terakhir.

Bagaimanapun, ujian terpaksa ditamatkan lebih awal selepas jentera Fusion yang dipandu Taylor Barnard terbakar ketika sesi petang Jumaat.

Barnard berjaya keluar dengan selamat, manakala Formula E dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan.

Kedua-dua pihak turut memaklumkan bahawa siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Tumpuan Formula E kini beralih kepada perlumbaan pembukaan musim di Mexico City yang dijadualkan berlangsung pada 16 Januari.