Supercars guna litar Adelaide buat kali terakhir sebelum ubah suai untuk MotoGP

Saingan Supercars Championship bakal menentukan juara musim ini di litar jalan raya Adelaide buat kali terakhir menggunakan susun atur sedia ada, sebelum kerja pengubahsuaian dimulakan bagi menyambut kehadiran MotoGP pada 2027.

Pusingan Grand Final yang berlangsung dari 26 hingga 29 November ini akan menjadi acara perlumbaan terakhir di litar sepanjang 3.22 kilometer yang mula digunakan ketika Adelaide 500 diperkenalkan pada 1999.

Litar tersebut akan dipanjangkan menerusi projek pengubahsuaian yang dirancang menjelang acara perlumbaan tahun depan.

Empat pelumba masih bersaing untuk merebut kejuaraan Supercars musim ini, dengan Matt Payne dan Broc Feeney masing-masing memburu gelaran pertama mereka.

Kedua-duanya perlu mengatasi juara bertahan Chaz Mostert serta juara 2023, Brodie Kostecki.

Payne tiba di Adelaide sebagai pendahulu kejuaraan selepas memenangi perlumbaan ke-34 di Sandown.

Kejuaraan akan ditentukan menerusi tiga perlumbaan, bermula dengan perlumbaan sejauh 100 kilometer pada Jumaat, diikuti dua perlumbaan masing-masing sejauh 250 kilometer sepanjang hujung minggu.

Selain perebutan gelaran utama Supercars, beberapa kejuaraan turut menjadi taruhan dalam perlumbaan sokongan.

Antaranya ialah GT World Challenge Australia yang kembali ke Adelaide selepas dua tahun tidak berlangsung di bandar itu, dengan dua perlumbaan masing-masing selama sejam dijadualkan.

Super2 Series, Porsche Carrera Cup dan V8 SuperUtes pula melengkapkan kategori sokongan utama.

Kerja pengubahsuaian litar dijadualkan bermula pada Disember sebagai sebahagian daripada projek pembangunan semula bernilai A$96 juta yang dicadangkan bagi memenuhi keperluan MotoGP dan Supercars.

Mengikut perancangan, laluan baharu akan dipanjangkan kepada 4.13 kilometer dengan 15 selekoh.

Susun atur itu turut mengembalikan beberapa jalan yang pernah digunakan ketika Adelaide menjadi tuan rumah Grand Prix Formula 1 Australia dari 1985 hingga 1995.

MotoGP dan Supercars akan menggunakan litar baharu tersebut pada hujung minggu berasingan sepanjang November 2027, dengan pelarasan pada penghadang keselamatan dan selekoh dilakukan antara kedua-dua acara.

Pusingan MotoGP Australia akan berpindah dari Phillip Island ke Adelaide menerusi perjanjian selama enam tahun.

Perpindahan itu bakal menjadikan Adelaide lokasi perlumbaan jalan raya di pusat bandar pertama dalam era moden MotoGP.

Saksikan saingan Supercars dan MotoGP secara langsung menerusi SPOTV NOW.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)