Pelakon Hollywood, Christian Bale, menyenaraikan Valentino Rossi, Giacomo Agostini dan Marc Marquez antara tokoh sukan yang ingin dilakonkannya dalam filem, sambil menyifatkan ketiga-tiga juara perlumbaan motosikal itu sebagai “dewa di atas motosikal”.
Pemenang Anugerah Oscar itu berkongsi hasrat tersebut dalam wawancara bersama Sports Illustrated ketika mempromosikan filem Madden, yang menyaksikannya membawa watak bekas pemilik pasukan Raiders, Al Davis.
Ketika ditanya mengenai tokoh sukan yang ingin dilakonkannya pada masa depan, Bale pada mulanya menyebut nama peninju Tyson Fury sebelum beralih kepada tiga nama besar dalam sejarah perlumbaan motosikal.
Minat Bale terhadap tokoh sukan bukan sesuatu yang baharu kerana dia pernah membawakan beberapa watak berdasarkan kisah sebenar atlet terkenal.
Antaranya ialah pelumba Britain, Ken Miles, dalam filem Ford v Ferrari yang diterbitkan pada 2019.
Dalam filem tersebut, Bale bergandingan dengan Matt Damon, yang melakonkan watak Carroll Shelby, bagi mengisahkan usaha Ford mencabar Ferrari dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans pada 1966.
Bale juga pernah melakonkan watak bekas peninju Dicky Eklund dalam filem The Fighter pada 2010.
Filem yang mengisahkan kehidupan Eklund bersama adik tirinya, Micky Ward, itu membolehkan Bale memenangi Anugerah Akademi bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Hubungan Bale dengan dunia motosikal pula bukan sekadar minat menonton MotoGP.
Pelakon itu mendedahkan bahawa dia pernah aktif menunggang motosikal sebelum mengambil keputusan untuk berhenti akibat kecederaan.
Tiga pelumba yang disebut Bale mewakili generasi berbeza dalam sejarah perlumbaan motosikal dunia.
Agostini memenangi 15 gelaran dunia dalam kelas 350cc dan 500cc, manakala Rossi meraih sembilan kejuaraan dunia merentasi tiga kategori.
Sementara itu, Marquez sempat memberikan respons terhadap kenyataan Bale menjelang Grand Prix Portugal hujung minggu ini.
Pelumba Ducati tersebut kini memburu gelaran dunia kelas utama kelapannya, yang akan membolehkannya menyamai rekod Agostini dalam kategori tertinggi.
Saksikan saingan MotoGP secara langsung menerusi SPOTV NOW.
View this post on Instagram



