Dolla bakal hangatkan pelancaran musim MotoGP 2026
Oleh Lee Seng Foo4 bulan lalu
(Sumber gambar: Dolla/Facebook)
Kumpulan pop wanita Malaysia, Dolla, akan menjadi antara tarikan utama pelancaran musim MotoGP 2026 pada 7 Februari.
Dikenali menerusi lagu popular seperti Raya Raya Raya dan Mwa!, trio yang dianggotai Sabronzo, Tabby dan Angel akan membawa sentuhan bintang tempatan dalam barisan persembahan hiburan bertaraf antarabangsa.
Turut dijadual memeriahkan acara ialah The Script serta PAWSA.
Selain konsert, acara pelancaran ini juga akan menampilkan kemunculan pelumba MotoGP serta acara tunggang motosikal di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur, sebagai usaha mendekatkan kejuaraan itu kepada peminat menjelang musim baharu.
“Pelancaran musim ini bertujuan mendekatkan MotoGP kepada peminat melalui cara yang baharu dan lebih menarik,” kata Kelly Brittain, Pengarah Urusan Pemasaran Global MotoGP.
“Seiring perkembangan sukan ini di peringkat global, detik seperti ini memainkan peranan penting untuk memperkenalkan MotoGP kepada peminat baharu dan mengukuhkan hubungan dengan penyokong sedia ada.
“Dengan menghimpunkan muzik bertaraf dunia, hiburan dan barisan pelumba MotoGP di bandar ikonik seperti Kuala Lumpur, kami mewujudkan satu platform yang mencerminkan skala perancangan serta tenaga yang bakal dibawa ke musim 2026.”
Pelancaran musim MotoGP 2026 boleh ditonton secara langsung di SPOTV NOW pada 7 Februari.
Selepas aksi penuh drama di Grand Prix Catalunya, saingan MotoGP kini beralih ke Mugello bagi Grand Prix Itali yang merupakan antara litar paling ikonik dalam kalendar musim ini.
Menjelang aksi yang boleh disaksikan secara langsung di SPOTV NOW, berikut lima perkara menarik yang wajar diberi perhatian.
Ini rumah Ducati
Grand Prix Catalunya akhirnya menghadirkan sedikit kelegaan buat Ducati Lenovo Team apabila Francesco Bagnaia mendapat tempat ketiga selepas perlumbaan berakhir. Kini mereka kembali ke Mugello, litar yang cukup sinonim dengan Ducati dan sering menjadi medan terbaik untuk pasukan tuan rumah itu bangkit.
Ducati memenangi tujuh daripada lapan perlumbaan MotoGP terakhir di Mugello, dengan hanya kemenangan Fabio Quartararo pada 2021 memutuskan rentak tersebut. Lebih menarik, Bagnaia juga mempunyai rekod cukup baik di sini dan sering tampil lebih menyerlah di hadapan penyokong sendiri, menjadikan Mugello peluang terbaik untuk Ducati kembali mengukuhkan kedudukan selepas permulaan musim yang agak goyah.
Grid pelumba tetap mungkin berkurangan lagi di Mugello
Jumlah pelumba tetap MotoGP yang turun beraksi di Mugello berkemungkinan berkurangan lagi susulan senarai kecederaan yang semakin panjang. Álex Márquez dan Johann Zarco menjadi nama terbaharu selepas kemalangan di Grand Prix Catalunya, menyertai Marc Márquez yang sudah terlebih dahulu diketepikan. Fabio Di Giannantonio pula tidak mengambil bahagian dalam ujian Barcelona, manakala Jorge Martín turut mengalami kemalangan dalam sesi tersebut.
Jika beberapa pelumba gagal mendapat pelepasan perubatan, Mugello boleh menyaksikan jumlah pelumba tetap berkurangan lagi dengan pasukan terpaksa menggunakan pelumba gantian. Sejak Suzuki meninggalkan MotoGP pada 2023, jumlah paling sedikit pelumba tetap yang pernah beraksi dalam satu pusingan ialah 17, iaitu di Grand Prix Argentina 2023 dan Grand Prix Jerman 2025.
Ai Ogura terus mencuri perhatian dalam musim keduanya di MotoGP apabila sudah mengumpul 77 mata selepas enam pusingan, termasuk podium di Grand Prix Amerika Syarikat. Catatan itu meletakkannya hanya 13 mata daripada mengatasi jumlah keseluruhan 89 mata yang diraih sepanjang musim debut tahun lalu, ketika beliau mengharungi 22 perlumbaan.
Jika terus mengekalkan prestasi semasa di Mugello, pelumba Jepun itu berpeluang mencipta catatan terbaik peribadinya lebih awal, sekali gus mengesahkan peningkatan ketara dalam musim keduanya di kelas premier.
Aprilia berpeluang cipta rekod baharu sebagai pengeluar
Aprilia muncul antara pengeluar paling menyerlah pada awal musim 2026, dengan Marco Bezzecchi menjadi tonggak utama prestasi cemerlang mereka. Setakat ini, Aprilia sebagai pengeluar sudah mencatat empat kemenangan Grand Prix, sekali gus menyamai rekod kemenangan terbanyak mereka dalam satu musim MotoGP, yang dicapai sepanjang kempen 2025.
Jika momentum itu berterusan di Mugello, Aprilia berpeluang mencipta rekod baharu kemenangan terbanyak dalam satu musim sebagai pengeluar, meskipun saingan musim ini masih di peringkat awal.
Selain MotoGP, Mugello turut menjadi pentas kepada pusingan kedua Harley-Davidson Bagger World Cup. Selepas aksi pembukaan di Austin, saingan ini kembali dengan beberapa jalan cerita menarik, termasuk kemunculan Andrea Iannone bersama pasukan Indonesia, Niti Racing.
Pendahulu kejuaraan Archie McDonald hadir dengan status pelumba yang perlu ditewaskan, manakala Óscar Gutiérrez dan Jake Lewis turut dijangka memberi saingan sengit.
Kejayaan Auckland FC menewaskan Sydney FC untuk menjuarai Grand Final A-League 2026 bukan sekadar menghadiahkan mereka gelaran liga pertama, malah meletakkan kelab New Zealand itu dalam kelompok yang cukup unik dalam bola sepak dunia.
Penyertaan rentas sempadan dalam liga domestik sememangnya bukan perkara biasa. Namun, lebih jarang lagi ialah kelab dari luar negara yang bukan sekadar bertanding, tetapi berjaya muncul juara liga utama di negara lain.
Berikut beberapa contoh kelab yang pernah melakar pencapaian serupa.
AS Monaco (Monaco → Perancis)
Walaupun berasal dari Monaco, AS Monaco sudah lama menjadi sebahagian daripada sistem bola sepak Perancis. Kelab itu muncul antara kuasa besar Ligue 1 dengan lapan gelaran liga, menjadikan mereka contoh paling terkenal bagi kelab luar negara yang berjaya menakluk liga negara jiran.
Singapura FA (Singapura → Malaysia)
Sebelum Singapura mempunyai struktur liga domestik moden, pasukan wakil negara itu merupakan antara peserta tetap dalam saingan bola sepak Malaysia. Mereka muncul juara liga utama Malaysia sebanyak dua kali pada 1985 dan 1994, selain kekal sebagai pasukan kedua paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia dengan 24 kejuaraan.
LionsXII (Singapura → Malaysia)
Singapura kembali ke saingan domestik Malaysia pada 2012 menerusi projek LionsXII. Pasukan itu terus mencuri perhatian apabila menamatkan musim sulung sebagai naib juara Liga Super Malaysia sebelum melangkah lebih jauh dengan menjuarai liga pada 2013. Mereka turut menambah Piala FA Malaysia pada 2015 sebelum projek itu ditamatkan dan pasukan berkenaan dibubarkan.
Albirex Niigata (S) (Jepun → Singapura)
Albirex Niigata (S) muncul sebagai antara kelab asing paling berjaya dalam sejarah bola sepak Singapura. Menyertai S.League pada 2004 sebagai kelab satelit kepada Albirex Niigata dari Jepun, mereka mula menjulang gelaran liga pada 2016 sebelum menambah lima lagi kejuaraan pada 2017, 2018, 2020, 2022 dan 2023.
Jika Albirex mendominasi dalam jangka panjang, Étoile pula mencipta impak segera. Kelab yang dibarisi majoriti pemain Perancis itu menjuarai S.League pada musim pertama mereka pada 2010, sekali gus menjadi kelab asing pertama meraih gelaran liga utama Singapura. Namun kelab itu hanya bertahan sehingga 2011 sebelum dibubarkan akibat masalah kewangan.
DPMM (Brunei → Singapura)
DPMM dari Brunei membuktikan mereka mampu bersaing di luar negara apabila menjuarai liga utama Singapura pada 2015 sebelum mengulangi kejayaan itu pada 2019. Kedua-dua gelaran tersebut menjadi pencapaian terbesar dalam sejarah kelab itu selepas bertahun-tahun beraksi di luar sistem liga domestik Brunei termasuk di Malaysia.
Derry City (Ireland Utara → Republik Ireland)
Walaupun berpangkalan di Ireland Utara, Derry City beraksi dalam liga Republik Ireland dan pernah dua kali muncul juara liga. Kejayaan mereka pada musim 1988/89 lebih manis apabila turut memenangi FAI Cup dan League Cup.
Berpangkalan di Oswestry tetapi beraksi dalam sistem liga Wales, The New Saints menjadi kuasa dominan dalam bola sepak Wales moden. Dengan 18 gelaran liga, mereka merupakan kelab paling berjaya dalam sejarah Cymru Premier, selain turut menikmati tempoh panjang dominasi dalam saingan piala domestik.
Juara NASCAR Cup Series dua kali, Kyle Busch, meninggal dunia pada usia 41 tahun, menurut pengesahan NASCAR pada Khamis.
Berita pemergiannya diumumkan hanya beberapa jam selepas keluarganya memaklumkan bahawa Busch dimasukkan ke hospital akibat sakit tenat dan tidak dapat beraksi pada perlumbaan Coca-Cola 600 hujung minggu ini.
Busch merupakan antara nama paling besar dalam era moden NASCAR, dengan kejayaan menjuarai Cup Series pada 2015 dan 2019.
Beliau juga memegang rekod sebagai pelumba paling banyak meraih kemenangan dalam tiga siri utama NASCAR dengan keseluruhan 234 kemenangan, sekali gus meletakkannya antara pelumba paling berjaya dalam sejarah sukan itu.
Busch masih bersaing sepenuh masa dalam Cup Series pada musim 2026, manakala kemenangan perlumbaan terakhirnya hadir pada 2023.
Selain kejayaan dalam Cup Series, beliau turut mencipta nama besar dalam Xfinity Series dan Truck Series, mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelumba paling versatil dan prolifik pernah dilahirkan NASCAR.
Susulan berita pemergiannya, penghormatan mula membanjiri dunia permotoran apabila pasukan, pelumba dan peminat mengenang legasi salah seorang bintang terbesar NASCAR itu.
Cristiano Ronaldo akhirnya meraih gelaran liga pertamanya bersama Al Nassr selepas kelab itu mengesahkan kejuaraan Liga Pro Saudi musim 2025/26 dengan kemenangan 4-1 ke atas Damac pada aksi penutup musim.
Al Nassr turun dengan misi memastikan kemenangan atau keputusan mereka sekurang-kurangnya menyamai pencabar terdekat Al Hilal untuk mengekalkan kedudukan di puncak.
Sadio Mane dan Kingsley Coman terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan sebelum Damac sempat merapatkan jurang menerusi Morlaye Sylla.
Namun dua jaringan Ronaldo pada minit ke-62 dan ke-80 memadamkan sebarang harapan kebangkitan pelawat dan memastikan kejuaraan menjadi milik Al Nassr.
Kejuaraan ini menamatkan kemarau tujuh tahun Al Nassr tanpa gelaran liga, selain menghadiahkan Ronaldo kejayaan domestik yang dinantikan sejak menyertai kelab itu pada Januari 2023.
Ia juga merupakan piala kedua pemain Portugal berusia 41 tahun itu bersama Al Nassr selepas kejayaan dalam Arab Club Champions Cup pada 2023.