Lima tempat masih belum diisi dalam grid MotoGP 2027 ketika pasukan terus menyusun barisan pelumba masing-masing menjelang bermulanya era jentera 850cc.
VR46 Racing Team, Honda HRC, LCR Honda, Red Bull KTM Tech3 dan Prima Pramac Yamaha masing-masing masih belum melengkapkan barisan dua pelumba mereka, dengan beberapa nama berpengalaman serta bintang muda dalam perebutan.
View this post on Instagram
Pasaran pelumba bagi musim 2027 sudah menyaksikan beberapa perpindahan besar, terutama membabitkan pasukan kilang.
Ducati mengekalkan juara dunia Marc Marquez tetapi membawa masuk Pedro Acosta dari KTM sebagai rakan sepasukannya, manakala Francesco Bagnaia meninggalkan pengeluar Itali itu untuk bergandingan dengan Marco Bezzecchi di Aprilia.
Yamaha pula akan tampil dengan gandingan serba baharu selepas mendapatkan juara dunia 2024 Jorge Martin dan Ai Ogura, sementara Fabio Quartararo menamatkan kerjasama panjangnya bersama Yamaha untuk menyertai Honda HRC.
KTM turut melakukan rombakan besar apabila Alex Marquez dan Fabio Di Giannantonio menggantikan Acosta serta Brad Binder dalam pasukan kilang menjelang perubahan peraturan teknikal musim depan.
Pasukan satelit juga tidak terkecuali daripada perubahan besar.
View this post on Instagram
Gresini sudah melengkapkan barisan dengan juara dunia 2020 Joan Mir dan graduan Moto2 Daniel Holgado, manakala Trackhouse akan mempertaruhkan Raul Fernandez bersama Enea Bastianini.
Luca Marini menjadi pelumba terbaharu menentukan masa depannya selepas bersetuju meninggalkan Honda untuk menyertai Tech3, sementara Fermin Aldeguer kekal bersama keluarga Ducati dengan berpindah dari Gresini ke VR46.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan hanya lima tempat masih belum terisi bagi musim 2027.
View this post on Instagram
Di Honda, persoalannya bukan lagi sama ada David Alonso dan Diogo Moreira akan berada dalam MotoGP, tetapi pasukan mana yang bakal diwakili mereka.
HRC sudah mengikat bintang Moto2, Alonso, menerusi kontrak beberapa tahun, manakala Moreira turut mempunyai kontrak bersama pengeluar Jepun itu.
Seorang daripada mereka dijangka bergandingan dengan Quartararo di Honda HRC, manakala seorang lagi berpotensi menyertai Johann Zarco di LCR.
Jika itu berlaku, dua daripada lima tempat yang masih tersedia akan menjadi milik dua pelumba muda Amerika Selatan berkenaan.
VR46 pula masih belum menentukan siapa yang akan bergandingan dengan Aldeguer.
Bintang WorldSBK, Nicolo Bulega, muncul sebagai calon utama selepas memainkan peranan penting dalam pembangunan jentera prototaip MotoGP 850cc Ducati.
Jika dinaikkan ke MotoGP, pelumba Itali itu bakal mendapat peluang pertama beraksi sepenuh masa dalam kelas perdana, selain menyaksikan kedua-dua pelumba VR46 berada di bawah kontrak Ducati.
View this post on Instagram
Tech3 juga masih mencari gandingan buat Marini, dengan pencabar Moto2 Senna Agius dan Manuel Gonzalez antara nama yang dikaitkan dengan pasukan berkenaan.
Agius khususnya semakin kuat dikaitkan dengan peluang ke MotoGP. Jika dipilih, pelumba Australia itu bakal membuat penampilan sulung dalam kelas perdana dan meneruskan usaha KTM mengetengahkan bakat dari Moto2.
Satu lagi tempat yang belum ditentukan adalah di Pramac, dengan Toprak Razgatlioglu sudah mempunyai kontrak untuk kekal bersama Yamaha bagi musim keduanya dalam MotoGP.
Bekas juara dunia Moto3, Izan Guevara, muncul sebagai antara calon utama menggantikan Jack Miller, sekali gus berpotensi mendapat peluang pertama beraksi dalam MotoGP selepas empat musim di Moto2.
Keputusan mengenai lima tempat terakhir itu juga boleh menyaksikan beberapa lagi muka baharu menyertai grid 2027.
Holgado sudah disahkan akan membuat penampilan sulung, manakala Alonso turut bakal dinaikkan ke kelas perdana menerusi kontraknya bersama Honda.
Pada masa sama, beberapa nama berpengalaman masih belum mempunyai kepastian mengenai masa depan mereka.
Binder, Miller, Franco Morbidelli dan Alex Rins semuanya dikaitkan dengan perpindahan ke Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK), manakala Maverick Vinales menjadi seorang lagi pemenang perlumbaan MotoGP yang masih belum mempunyai pasukan bagi musim 2027.



