Wawrinka terima wildcard Terbuka AS saat akhir

(Manuela Davies/USTA)

Stan Wawrinka akhirnya berpeluang membuat penampilan terakhir di Terbuka AS selepas bekas juara itu menerima wildcard ke undian utama hanya beberapa hari sebelum kejohanan bermula.

Pemain berusia 41 tahun itu pada awalnya tidak tersenarai ketika penganjur mengumumkan penerima wildcard minggu lalu, sekali gus dilihat bakal terlepas peluang kembali ke Flushing Meadows dalam musim terakhir karier profesionalnya.

Namun, penarikan diri pemain Amerika Syarikat, Patrick Kypson, akibat kecederaan membuka satu kekosongan yang kemudiannya diberikan Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) kepada Wawrinka.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by US Open (@usopen)

“Saya sangat teruja menerima wildcard untuk Terbuka AS 2026 dan tidak sabar untuk kembali beraksi di hadapan peminat di New York,” katanya dalam satu kenyataan.

Wawrinka pernah mencipta antara kejayaan terbesar dalam kariernya di New York pada 2016 apabila menewaskan Novak Djokovic dalam empat set pada final untuk meraih gelaran Grand Slam ketiga dan terakhirnya setakat ini.

Pemain Switzerland itu kini menerima wildcard untuk beraksi dalam keempat-empat Grand Slam sepanjang musim perpisahannya, selepas turut mendapat tempat di Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Wimbledon.

Kemasukan Wawrinka pada saat akhir menambah seorang lagi bekas juara dalam saingan perseorangan lelaki yang sudah kehilangan pemain nombor satu dunia Jannik Sinner akibat kecederaan, manakala juara bertahan Carlos Alcaraz, Djokovic dan Alexander Zverev antara pencabar utama.

Undian utama Terbuka AS 2026 bermula pada 30 Ogos, dengan aksi disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.