Kane, Putellas rangkul Ballon d’Or 2026

Harry Kane merangkul anugerah Ballon d’Or buat kali pertama dalam kariernya, manakala Alexia Putellas mencatat kejayaan ketiga dalam kategori wanita pada majlis anugerah 2026 di London, Isnin.

Kane muncul pemain England pertama memenangi Ballon d’Or lelaki sejak Michael Owen pada 2001 selepas mengatasi Kylian Mbappe dan Lamine Yamal dalam undian.

Penyerang Bayern Munich berusia 33 tahun itu menikmati musim cemerlang dengan 61 gol dalam 51 penampilan, sekali gus membantu kelabnya menjuarai Bundesliga dan Piala Jerman.

Dia turut mengetuai England selaku kapten sehingga meraih tempat ketiga pada Piala Dunia.

Kane melengkapkan malam gemilangnya dengan memenangi Trofi Gerd Muller sebagai penjaring terbanyak kategori lelaki selepas menghasilkan 73 gol bersama kelab dan negara sepanjang tempoh penilaian anugerah tersebut.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ballon d’Or (@ballondorofficial)

Dalam kategori wanita, Putellas menyamai rekod bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Aitana Bonmati, dengan tiga kemenangan Ballon d’Or.

Pemain tengah Sepanyol itu sebelum ini memenangi anugerah berkenaan pada 2021 dan 2022.

Putellas membantu Barcelona meraih empat trofi musim lalu, termasuk Liga Juara-Juara Wanita, sebelum berpindah ke London City Lionesses pada Julai.

Bekas rakan sepasukannya, Ewa Pajor, menduduki tempat kedua dalam undian Ballon d’Or wanita, diikuti penyerang Manchester City, Khadija Shaw, di tempat ketiga.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ballon d’Or (@ballondorofficial)

Majlis yang berlangsung di London Palladium itu turut menyaksikan beberapa lagi kejayaan buat wakil Barcelona dan Sepanyol.

Lamine Yamal dan Vicky Lopez masing-masing mempertahankan Trofi Kopa lelaki dan wanita bagi pemain muda terbaik.

Yamal memenangi anugerah itu buat kali ketiga berturut-turut, manakala Lopez meraihnya untuk tahun kedua berturut-turut.

Dua penjaga gol Sepanyol, Unai Simon dan Cata Coll, pula dinobatkan sebagai pemenang Trofi Yashin bagi kategori lelaki dan wanita.

Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente, menerima anugerah jurulatih terbaik lelaki, sementara jurulatih Barcelona, Pere Romeu, memenangi kategori wanita.

Penyerang Mexico yang beraksi bersama Pachuca, Charlyn Corral, membawa pulang anugerah penyerang terbaik wanita.

Paris Saint-Germain pula dinobatkan sebagai kelab terbaik lelaki, manakala Barcelona memenangi anugerah kelab terbaik wanita.

Sementara itu, pemain sayap Arsenal dan England, Bukayo Saka, menerima Anugerah Socrates sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam kerja kemasyarakatan dan kemanusiaan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ballon d’Or (@ballondorofficial)