MotoGP bakal menggunakan format kelayakan baharu mulai musim 2027 apabila Sprint dan perlumbaan utama mempunyai sesi kelayakan serta susunan grid masing-masing.
Perubahan yang diumumkan pada Rabu itu bermakna keputusan kelayakan pada Sabtu tidak lagi menentukan kedudukan permulaan untuk kedua-dua perlumbaan seperti sekarang.
Sebaliknya, semua pelumba akan turun dalam sesi kelayakan Sprint selama 15 minit pada Jumaat bagi menentukan kedudukan grid perlumbaan pendek pada Sabtu.
Sesi kelayakan untuk Grand Prix pada Ahad pula kekal berlangsung pada Sabtu, tetapi dengan perubahan kepada cara pelumba merebut tempat di grid.
Kesemua pelumba perlu melalui Q1 terlebih dahulu, dengan 12 pelumba terpantas layak ke Q2 untuk menentukan petak pertama serta kedudukan empat barisan hadapan.
Ini berbeza dengan format sekarang yang membolehkan 10 pelumba terpantas dalam sesi Practice pada Jumaat terus layak ke Q2, sebelum disertai dua pelumba terbaik dari Q1.
Format tersebut digunakan sejak Grand Prix Britain 2023, apabila catatan masa sesi latihan pagi Jumaat tidak lagi diambil kira untuk kelayakan.
Mulai tahun depan, sesi Practice pada Jumaat akan digantikan dengan Free Practice 2 selama 30 minit. Catatan masa dalam sesi itu tidak akan mempengaruhi kelayakan pelumba.
MotoGP turut menggugurkan sesi warm-up selama 10 minit pada pagi Ahad.
Sebagai ganti, pit lane akan dibuka selama 10 minit sebelum Grand Prix bermula bagi membolehkan pelumba melakukan beberapa pusingan tinjauan litar untuk pemeriksaan terakhir jentera.
View this post on Instagram



