Cristiano Ronaldo memberikan penghormatan kepada Lionel Messi selepas bintang Argentina itu menamatkan karier antarabangsa selama 21 tahun.
Bintang Al Nassr itu meninggalkan ucapan dalam bahasa Sepanyol menerusi hantaran perpisahan Messi pada Rabu, sehari selepas penampilan terakhirnya bersama Argentina.
“Leo, begitu lama kamu mewakili negara dan meninggalkan legasi yang akan terus dikenang.
“Saya amat menghormati segala pencapaian kamu bersama Argentina,” tulis Ronaldo.
View this post on Instagram
Messi menutup karier antarabangsanya dengan satu gol dan dua bantuan jaringan ketika Argentina menewaskan Benin 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Monumental, Buenos Aires pada Selasa.
Pemain Inter Miami itu bersara sebagai pemegang rekod penampilan dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Argentina, dengan 126 gol daripada 208 perlawanan.
Ucapan Ronaldo kepada Messi menarik perhatian kerana kedua-duanya menghabiskan sebahagian besar karier sebagai seteru utama dalam bola sepak dunia.
Persaingan mereka paling hangat ketika Messi mengetuai Barcelona dan Ronaldo menjadi tonggak Real Madrid dari 2009 hingga 2018.
Sepanjang tempoh itu, kedua-duanya silih berganti mencuri tumpuan dalam perebutan kejuaraan liga Sepanyol, Liga Juara-Juara UEFA dan pelbagai anugerah individu.



