ONIC, Selangor Red Giants terajui cabaran Asia Tenggara di Games of the Future

(ONIC ID/Facebook)

Asia Tenggara bakal mempertaruhkan enam pasukan dalam saingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Games of the Future 2026, dengan juara bertahan, ONIC dari Indonesia serta wakil Malaysia, Selangor Red Giants (SRG) mengetuai cabaran rantau ini di Astana, Kazakhstan.

Games of the Future edisi 2026 akan berlangsung dari 29 Julai hingga 9 Ogos, mengintegrasikan acara ‘phygital’ yang menggabungkan pertandingan fizikal dan digital, selain beberapa kejohanan esukan berdiri sendiri.

Selain acara ‘phygital’ yang menjadi identiti kejohanan itu, pertandingan bagi judul esukan popular seperti MLBB, Dota 2 dan PUBG: Battlegrounds turut menjadi antara tarikan utama.

Saingan MLBB yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 9 Ogos akan membabitkan 16 pasukan jemputan yang bersaing merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$900,000.

Empat lagi pasukan Asia Tenggara yang melengkapkan cabaran rantau ini ialah Bigetron by Vitality dari Indonesia, Team Vamos dari Malaysia, PRO Esports dari Kemboja dan Team Falcons dari Filipina.

ONIC hadir selaku juara bertahan selepas menewaskan Aurora Gaming pada final edisi tahun lalu di Abu Dhabi, manakala SRG pula tampil sebagai antara pasukan terbaik Malaysia susulan beberapa pencapaian memberangsangkan di pentas antarabangsa sejak kebelakangan ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ONIC (@onic.esports)

Bagi saingan PUBG: Battlegrounds, Asia Tenggara akan diwakili enam pasukan, manakala pertandingan Dota 2 menyaksikan dua wakil dari rantau itu turut mengambil bahagian.

Perlawanan serta acara terpilih sepanjang Games of the Future 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.