Lorenzo Musetti menarik diri daripada skuad Itali bagi saingan Piala Davis Finals kurang seminggu sebelum kejohanan bermula di Bologna.
Pemain berusia 23 tahun itu, yang baru beraksi dalam ATP Finals sebagai pengganti Novak Djokovic, memaklumkan keputusan tersebut dibuat atas faktor fizikal dan keluarga.
“Melihat keadaan fizikal saya dan situasi keluarga, saya bersama kapten Filippo Volandri telah memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam Piala Davis Finals di Bologna,” kata pemenang pingat gangsa Olimpik 2024 itu.
View this post on Instagram
Beliau yang kini menantikan kelahiran anak keduanya mengakui rasa terkilan kerana tidak dapat menyertai kejohanan tersebut, sambil menjelaskan bahawa keletihan fizikal sejak beberapa bulan kebelakangan ini sukar dipulihkan dalam masa singkat.
Itali sebagai juara dua edisi terakhir sudah pun kehilangan pemain nombor dua dunia, Jannik Sinner, yang mengumumkan penarikan diri bulan lalu bagi memberi tumpuan kepada persiapan musim baharu.
Tuan rumah tersebut dijadual menentang Austria dalam pusingan pertama.



