Piala Asia AFC 2027 ditunda ke Disember

Piala Asia AFC2027 di Arab Saudi ditunda hampir setahun susulan perkembangan situasi di rantau itu yang menjejaskan urusan perjalanan dan persiapan kejohanan.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan keputusan tersebut pada Selasa, dengan kejohanan kini dicadangkan berlangsung dari 23 Disember 2027 hingga 21 Januari 2028, tertakluk kepada kelulusan FIFA.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by @afcasiancup

Kejohanan yang disertai 24 pasukan itu pada asalnya dijadual berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari 2027, dengan Arab Saudi bakal menjadi tuan rumah buat kali pertama.

Menurut pihak penganjur, penangguhan itu dibuat berikutan keadaan luar biasa yang menyebabkan pelbagai masalah logistik dan gangguan perjalanan.

Keputusan tersebut menyusul selepas beberapa minggu ketidaktentuan susulan serangan di Arab Saudi yang turut menjejaskan penganjuran beberapa acara sukan antarabangsa.

Walaupun tarikh berubah, Piala Asia masih dirancang berlangsung di tiga bandar, iaitu Riyadh, Jeddah dan Al Khobar.

Qatar akan hadir selaku juara bertahan dengan misi merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut selepas muncul juara pada edisi 2019 dan 2023.

Empat wakil Asia Tenggara sudah mengesahkan kelayakan, iaitu Indonesia, Thailand, Vietnam dan Singapura.

Bagi Singapura, kejohanan ini menandakan penampilan pertama mereka di Piala Asia sejak menjadi tuan rumah pada 1984.

Singapura diundi dalam Kumpulan D bersama Australia, Iraq dan Tajikistan.

Indonesia dan Thailand pula bakal bersaing sesama sendiri dalam Kumpulan F yang turut menempatkan Jepun dan Qatar.

Vietnam berada dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Yaman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Penangguhan kali ini bermakna Piala Asia akan berlangsung di luar jadual asal buat edisi kedua berturut-turut.

Edisi 2023 sebelum ini dipindahkan dari China ke Qatar akibat sekatan COVID-19 sebelum akhirnya berlangsung pada Januari hingga Februari 2024.

Qatar muncul juara edisi tersebut selepas menewaskan Jordan dalam perlawanan akhir.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by @afcasiancup