Francesco Bagnaia memberikan gambaran awal yang positif terhadap jentera baharu Ducati selepas melengkapkan ujian pasca musim MotoGP di Valencia pada Selasa.
Pelumba Ducati Lenovo Team itu melalui musim 2025 yang sukar apabila menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan serta merekodkan tujuh DNF, termasuk lima berturut-turut dari Indonesia hingga Valencia.
Meskipun menamatkan ujian di kedudukan ke-10 dan menjadi satu-satunya pelumba yang terbabas ke kawasan gravel, pelumba Itali itu tetap berpuas hati dengan 50 pusingan yang dilengkapkannya di Litar Ricardo Tormo.
View this post on Instagram
“Saya rasa positif dan gembira secara keseluruhan,” kata juara dunia dua kali itu selepas sesi ujian.
“Pendekatan pertama terhadap jentera 2026 ini berjalan dengan baik dan saya dapat menekan serta memahami banyak perkara.
“Perubahan paling ketara ialah pendekatan ketika membrek. Saya mampu membrek dengan kuat, sesuatu yang sebelum ini kurang saya rasai dalam beberapa tahun kebelakangan.
“Ia jauh lebih baik berbanding beberapa Grand Prix terakhir.”



