Selepas aksi di Mugello, saingan MotoGP 2026 kini beralih ke Balaton Park untuk Grand Prix Hungary, dengan beberapa aspek menarik dijangka menjadi tumpuan sepanjang hujung minggu ini. Berikut lima perkara yang wajar diberi perhatian menjelang aksi yang boleh disaksikan secara langsung di SPOTV NOW.
View this post on Instagram
Hujung minggu sempurna Marc pada 2025
Ketika MotoGP kembali ke Hungary musim lalu, Marc Márquez menikmati antara hujung minggu paling dominan dalam kariernya. Pelumba Sepanyol itu meraih petak utama, memenangi perlumbaan sprint dan Grand Prix, selain mencatat pusingan terpantas untuk melengkapkan sapu bersih di Balaton Park. Kejayaan tersebut turut melanjutkan rekod tujuh kemenangan berturut-turut merangkumi perlumbaan sprint dan perlumbaan utama, rekod terbaik sejak format sprint diperkenalkan pada 2023.
Balaton Park masih menanti grid penuh pelumba tetap
Walaupun ini merupakan kunjungan kedua MotoGP ke Balaton Park dan Grand Prix Hungary yang keempat, litar tersebut masih belum pernah menyaksikan kesemua pelumba tetap MotoGP beraksi serentak. Maverick Viñales terlepas perlumbaan tahun lalu akibat kecederaan, manakala Álex Márquez dan Johann Zarco pula disahkan tidak akan beraksi hujung minggu ini.
View this post on Instagram
Lecuona kembali dipanggil ke MotoGP
Dengan Álex Márquez masih belum pulih sepenuhnya, Gresini Racing mendapatkan khidmat pelumba WorldSBK, Iker Lecuona, untuk Grand Prix Hungary. Kali terakhir pelumba Sepanyol itu beraksi dalam MotoGP adalah pada 2023 ketika menggantikan Álex Rins bersama LCR Honda di Grand Prix Malaysia dan Qatar. Balaton Park pula bukan litar yang asing buat Lecuona selepas beliau beraksi di sana dalam saingan WorldSBK musim ini dan menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat kedua.
View this post on Instagram
Itali buru kemenangan ke-300 kelas premier
Itali kini hanya satu kemenangan lagi daripada mencipta sejarah sebagai negara pertama yang mencapai 300 kemenangan dalam kelas premier. Kemenangan Marco Bezzecchi di Mugello pada pusingan lalu merupakan kemenangan ke-299 buat pelumba Itali di peringkat tertinggi MotoGP. Dengan jentera Ducati dan Aprilia terus menunjukkan prestasi kompetitif, selain kehadiran ramai pelumba Itali di kelompok hadapan, peluang untuk rekod itu dicapai di Hungary cukup cerah.
View this post on Instagram
Moto4 Northern Cup memasuki pusingan ketiga
Moto4 Northern Cup turut kembali beraksi hujung minggu ini di Balaton Park untuk pusingan ketiga musim 2026. Anina Urlass hadir sebagai pendahulu kejuaraan, dengan dua lagi pelumba Jerman, Robin Siegert dan Thias Wenzel, melengkapkan tiga kedudukan teratas keseluruhan.
View this post on Instagram



