Guintoli sertai London Marathon bagi memperingati anak
Oleh Lee Seng Foo4 bulan lalu
(Dorna)
Bekas pelumba MotoGP, Sylvain Guintoli, akan menyertai London Marathon 2026 pada April ini bagi mengenang anaknya, Luca.
Luca meninggal dunia pada Julai tahun lalu pada usia enam tahun selepas bertarung dengan kanser.
Menjelang Grand Prix Thailand pembuka musim minggu lalu, Guintoli memperkenalkan sut larian khas yang akan dipakainya dalam maraton tersebut.
Sut berkenaan memaparkan nama Luca bersama imej Sonic the Hedgehog, watak kartun kegemarannya.
Pelumba berusia 43 tahun itu berkata penyertaannya dalam maraton tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran serta sokongan terhadap kanak-kanak yang menghidap kanser dan keluarga mereka.
“Saya tahu ia kelihatan agak pelik, tetapi saya melakukannya untuk tujuan yang baik dan demi kanak-kanak yang menghidap kanser dan keluarga mereka,” katanya.
Guintoli, yang juga juara WorldSBK 2014, pernah bersaing dalam MotoGP selama tujuh musim dalam tiga tempoh berbeza, termasuk pada musim sulung 2002.
Novak Djokovic menceriakan suasana di Wimbledon apabila secara berseloroh menyatakan hasrat untuk memiliki jaket hijau Masters milik Rory McIlroy.
Juara Grand Slam 24 kali itu melontarkan gurauan berkenaan sejurus menewaskan Stefanos Tsitsipas 6-3, 6-4, 6-2 bagi mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Wimbledon.
McIlroy yang berada di Royal Box turut menjadi perhatian apabila hadir mengenakan jaket hijau ikonik Masters, simbol yang diberikan kepada juara kejohanan golf berprestij itu.
Pemain dari Ireland Utara tersebut menjuarai Masters pada 2025 sebelum mempertahankan gelarannya musim ini.
Ketika ditemu bual selepas perlawanan, Djokovic menyedari kehadiran beberapa bintang golf termasuk McIlroy, Justin Rose dan Luke Donald.
"Rory, Justin, Luke... seronok dapat melihat anda semua. Tahniah juga kepada Team Europe atas kemenangan Ryder Cup. Saya menontonnya," katanya.
Djokovic kemudian bergurau mengenai jaket hijau yang dipakai McIlroy.
"Jaket itu memang cantik. Itu jaket Masters, bukan? Saya pun mahukan jaket itu. Apa kata kita bertanding? Jaket yang saya pakai ini menentang jaket hijau itu. Kita main tenis sahaja, bukan golf."
Gurauan tersebut mengundang gelak tawa penonton di Centre Court.
Djokovic seterusnya akan berdepan Arthur Rinderknech dari Perancis dalam usahanya memburu gelaran Grand Slam perseorangan ke-25, manakala McIlroy kini memberi tumpuan kepada Terbuka Scottish dan The Open Championship yang bakal berlangsung bulan ini.
Grand Prix Malaysia akan terus menjadi sebahagian daripada kalendar MotoGP sehingga sekurang-kurangnya musim 2031 selepas kontrak Litar Antarabangsa Sepang dilanjutkan untuk lima tahun lagi.
Perjanjian baharu yang diumumkan pada Selasa itu meliputi musim 2027 hingga 2031, sekali gus memastikan Sepang terus kekal sebagai antara venue paling lama menganjurkan perlumbaan MotoGP di rantau Asia.
Sejak kali pertama menjadi tuan rumah pada 1999, Sepang hanya terlepas dua edisi iaitu pada 2020 dan 2021 apabila perlumbaan dibatalkan akibat pandemik COVID-19.
Malaysia turut memainkan peranan penting dalam MotoGP musim ini apabila dipilih sebagai lokasi pelancaran rasmi musim 2026, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara destinasi utama kejuaraan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carmelo Ezpeleta, berkata Malaysia terus menjadi antara pasaran paling penting buat kejuaraan itu.
"Malaysia ialah pasaran yang amat penting buat MotoGP. Kami mempunyai kelompok penyokong yang besar di sini dan impak ekonomi yang dibawa MotoGP juga terus meningkat dari tahun ke tahun," katanya.
"Gabungan perlumbaan yang menarik, sokongan luar biasa peminat tempatan serta tarikan di peringkat antarabangsa menjadikan Grand Prix Malaysia acara yang sentiasa dinanti-nantikan. Kami gembira dapat terus kembali ke Sepang sehingga 2031."
Lanjutan kontrak itu menjadikan Sepang litar kedua yang mengesahkan masa depannya dalam kalendar MotoGP bagi tempoh selepas 2026, selepas Aragon terlebih dahulu mencapai persetujuan baharu baru-baru ini.
Perjanjian berkenaan turut memastikan Sepang akan terus menjadi sebahagian daripada era baharu MotoGP apabila jentera generasi baharu 850cc diperkenalkan mulai musim 2027.
Hafizh Syahrin bakal berkongsi litar bersama juara dunia MotoGP, Marc Marquez, serta beberapa lagi bintang Ducati dalam Lenovo Race of Champions sempena sambutan World Ducati Week 2026 di Misano.
Perlumbaan khas itu akan menghimpunkan pelumba daripada MotoGP, World Superbike (WorldSBK) serta beberapa lagi kejuaraan yang mendapat sokongan pengeluar Itali tersebut.
Marquez mengetuai senarai pelumba MotoGP Ducati yang turut dibarisi Francesco Bagnaia, Fabio Di Giannantonio, Franco Morbidelli dan Michele Pirro.
Turut memeriahkan acara ialah pencabar kejuaraan WorldSBK, Nicolo Bulega dan Alvaro Bautista.
Hafizh menjadi satu-satunya wakil daripada Asia Road Racing Championship (ARRC) yang menerima jemputan untuk menyertai perlumbaan itu hasil prestasi cemerlangnya bersama JDT Racing Team.
Juara bertahan ASB1000 itu kini berada dalam landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraannya selepas memenangi kesemua enam perlumbaan yang telah berlangsung setakat musim 2026.
Walaupun baru dua hari saingan berlangsung, Wimbledon 2026 sudah pun menyajikan pelbagai rekod unik, pencapaian bersejarah dan statistik luar biasa.
Berikut 10 fakta menarik yang tercipta selepas tamat pusingan pertama di All England Club.
Novak Djokovic meneruskan rekod sempurnanya di pusingan pertama Wimbledon apabila mencatat kemenangan ke-21 berturut-turut selepas menewaskan Wu Yibing dari China dalam straight set. Kemenangan itu turut menjadikan pemain Serbia tersebut individu pertama dalam Era Terbuka yang merekodkan lebih 80 kemenangan di pusingan pertama merentasi keempat-empat kejohanan Grand Slam.
Sinner menyamai rekod legenda Itali
Jannik Sinner menyamai rekod Nicola Pietrangeli sebagai pemain Itali dengan kemenangan perseorangan Grand Slam terbanyak apabila mencatat kemenangan ke-94 selepas menewaskan Miomir Kecmanovic dalam lima set. Pemain No. 1 dunia itu berpeluang muncul pemegang rekod baharu sekiranya menewaskan Nuno Borges pada pusingan kedua.
Juara bertahan sekali lagi diheret ke lima set
Kecmanovic menjadi pemain kedua berturut-turut yang memaksa juara bertahan perseorangan lelaki Wimbledon beraksi sehingga lima set seawal pusingan pertama. Tahun lalu, Fabio Fognini mengheret Carlos Alcaraz ke lima set, manakala sebelum itu Alejandro Falla melakukan perkara sama terhadap Roger Federer pada edisi 2010.
Wildcard jadi pemain pilihan
Walaupun tewas di pusingan pertama, Maja Chwalinska mencipta satu lagi rekod unik apabila menjadi pemain pilihan yang beraksi menerusi wildcard di kejohanan Grand Slam. Finalis Roland Garros 2026 itu hanya pemain ketiga dalam Era Terbuka yang melakukannya selepas Martina Hingis di Terbuka Amerika Syarikat 2002 dan Patty Schnyder di Wimbledon 2004.
Britain alami permulaan terburuk sejak 1988
Seramai 15 pemain tuan rumah tersingkir seawal pusingan pertama, menjadikan ia permulaan paling mengecewakan buat Britain di Wimbledon dalam tempoh hampir empat dekad. Cameron Norrie turut menjadi antara nama besar yang tersingkir selepas tewas kepada Michael Zheng, sekali gus menyaksikan hanya Katie Swan, Jacob Fearnley, Arthur Fery dan Jan Choinski kekal dalam saingan perseorangan.
Harapan Britain sebenarnya sudah pun terjejas sebelum kejohanan bermula apabila Jack Draper dan Emma Raducanu menarik diri akibat kecederaan.
Pablo Carreno Busta akhirnya meraih kemenangan pertama dalam undian utama perseorangan Wimbledon selepas Denis Shapovalov menarik diri akibat kecederaan ketika perlawanan. Pemain Sepanyol itu sebelum ini tewas dalam kesemua tujuh penampilan terdahulu.
Jodar sertai kelompok elit remaja Sepanyol
Rafael Jodar mencatat kemenangan sulungnya di peringkat Jelajah ATP di gelanggang rumput, sekali gus menjadi pemain remaja kelima dari Sepanyol yang pernah memenangi perlawanan perseorangan lelaki Wimbledon dalam Era Terbuka. Beliau menyertai kelompok eksklusif yang turut dianggotai Sergi Bruguera, Tommy Robredo, Rafael Nadal dan Carlos Alcaraz.
Macedonia Utara cipta sejarah
Lina Gjorcheska melakar sejarah sebagai pemain pertama dari Macedonia Utara yang beraksi dalam undian utama perseorangan Grand Slam. Pemain berusia 31 tahun itu layak menerusi pusingan kelayakan sebelum langkahnya terhenti di pusingan pertama selepas tewas kepada Amanda Anisimova.
Dulu Rusia, kini Uzbekistan
Polina Kudermetova, Kamilla Rakhimova dan Maria Timofeeva membuat penampilan sulung di Wimbledon sebagai wakil Uzbekistan selepas menukar kerakyatan daripada Rusia. Mereka turut menjadi sebahagian daripada trend pemain kelahiran Rusia yang kini mewakili negara lain, termasuk Anastasia Potapova yang kini mewakili Austria dan Daria Kasatkina yang beraksi untuk Australia.
Empat wakil Asia Tenggara mara ke pusingan kedua
Alexandra Eala memastikan Asia Tenggara terus mencuri perhatian apabila menewaskan Renata Zarazua dari Mexico untuk meraih kemenangan sulungnya di pusingan pertama Wimbledon. Beliau menyertai Janice Tjen, Mananchaya Sawangkaew dan Lanlana Tararudee di pusingan kedua, menjadikan empat wakil Asia Tenggara masih meneruskan cabaran.
Tjen muncul pemain Indonesia pertama mara ke pusingan kedua Wimbledon sejak Angelique Widjaja pada 2003, manakala Sawangkaew menamatkan penantian tujuh tahun Thailand untuk menyaksikan wakil mereka memenangi perlawanan perseorangan wanita di All England Club.