Sepang kekal dalam kalendar MotoGP hingga 2031

(Diego Sperani/MotoGP)

Grand Prix Malaysia akan terus menjadi sebahagian daripada kalendar MotoGP sehingga sekurang-kurangnya musim 2031 selepas kontrak Litar Antarabangsa Sepang dilanjutkan untuk lima tahun lagi.

Perjanjian baharu yang diumumkan pada Selasa itu meliputi musim 2027 hingga 2031, sekali gus memastikan Sepang terus kekal sebagai antara venue paling lama menganjurkan perlumbaan MotoGP di rantau Asia.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

Sejak kali pertama menjadi tuan rumah pada 1999, Sepang hanya terlepas dua edisi iaitu pada 2020 dan 2021 apabila perlumbaan dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Malaysia turut memainkan peranan penting dalam MotoGP musim ini apabila dipilih sebagai lokasi pelancaran rasmi musim 2026, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara destinasi utama kejuaraan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carmelo Ezpeleta, berkata Malaysia terus menjadi antara pasaran paling penting buat kejuaraan itu.

“Malaysia ialah pasaran yang amat penting buat MotoGP. Kami mempunyai kelompok penyokong yang besar di sini dan impak ekonomi yang dibawa MotoGP juga terus meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

“Gabungan perlumbaan yang menarik, sokongan luar biasa peminat tempatan serta tarikan di peringkat antarabangsa menjadikan Grand Prix Malaysia acara yang sentiasa dinanti-nantikan. Kami gembira dapat terus kembali ke Sepang sehingga 2031.”

Lanjutan kontrak itu menjadikan Sepang litar kedua yang mengesahkan masa depannya dalam kalendar MotoGP bagi tempoh selepas 2026, selepas Aragon terlebih dahulu mencapai persetujuan baharu baru-baru ini.

Perjanjian berkenaan turut memastikan Sepang akan terus menjadi sebahagian daripada era baharu MotoGP apabila jentera generasi baharu 850cc diperkenalkan mulai musim 2027.