Aragon kekal, lima litar MotoGP masih menunggu pengesahan

(Luca Gambuti/MotoGP)

MotoGP mengesahkan pada Rabu bahawa MotorLand Aragon akan kekal dalam kalendar sehingga 2027 sebelum beralih kepada status litar simpanan mulai 2028.

Pengumuman itu memberi gambaran lebih jelas mengenai masa depan Grand Prix Aragon, sekali gus menjadikannya litar terbaharu yang berjaya menyelesaikan status kontraknya yang sebelum ini dijadual tamat pada penghujung 2026.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

Awal tahun ini, Grand Prix Australia turut mengesahkan masa depannya menerusi perpindahan dari Phillip Island ke Adelaide di bawah perjanjian enam tahun yang akan bermula pada 2027.

Ketika ini, beberapa venue lain masih belum mengumumkan status masing-masing selepas musim 2026, iaitu Silverstone, Sepang, Mugello, Portimao dan Balaton Park.

Silverstone menjadi tuan rumah Grand Prix Britain sejak 2010 selepas MotoGP meninggalkan Donington Park, manakala Sepang pula menganjurkan setiap Grand Prix Malaysia sejak litar itu dibuka pada 1999.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)

Mugello pula tidak pernah terlepas daripada kalendar Grand Prix Itali sejak 1994 dan kekal sebagai antara venue paling ikonik dalam MotoGP.

Di Portugal, Portimao kembali menjadi sebahagian daripada kalendar kejuaraan dunia sejak musim 2020 yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, masa depan Grand Prix Hungary turut menjadi tanda tanya. Perlumbaan tersebut kembali ke MotoGP pada 2025, namun laporan media Sepanyol, El Periodico, mendakwa Balaton Park berisiko kehilangan tempatnya dalam kalendar musim depan.

MotoGP dijangka mengumumkan perkembangan berkaitan masa depan litar-litar berkenaan dalam tempoh terdekat.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)