Acosta puji kebangkitan luar biasa Marquez

(Luca Gambuti/MotoGP)

Pedro Acosta memuji kebangkitan luar biasa yang dilakukan oleh Marc Marquez selepas melalui tempoh paling sukar dalam kariernya, sambil menyifatkan pelumba Ducati itu sebagai antara pelumba terbaik yang pernah mewarnai MotoGP.

Pelumba Red Bull KTM Factory Racing itu berkongsi pandangannya ketika muncul dalam Gypsy Tales Podcast, yang turut menyentuh perjalanan Marquez kembali ke puncak selepas beberapa tahun bergelut dengan kecederaan.

Selepas melalui siri kecederaan yang hampir menjejaskan kariernya, Marquez bangkit untuk merangkul gelaran dunia MotoGP 2025 sebelum membuka akaun kemenangan musim 2026 menerusi kejayaan di Grand Prix Hungary.

Menurut Acosta, pencapaian Marquez tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan jumlah kemenangan atau kejuaraan yang dimilikinya.

“Kalau dia bukan yang terbaik sepanjang zaman, dia berada dalam kelompok yang sama dengan Valentino Rossi,” katanya.

“Apa yang membuatkan Marc begitu istimewa bukanlah apa yang sudah dicapainya, tetapi bagaimana dia berjaya mendapatkannya semula.

“Bila anda sudah berada di puncak dan kemudian kehilangannya, kebiasaannya akan muncul generasi baharu yang mengambil alih seperti Fabio Quartararo, Pecco Bagnaia dan Jorge Martin. Mereka semua mempunyai bakat yang luar biasa.

“Tetapi Marc berjaya kembali selepas melalui tempoh yang sangat sukar dan merampas semula kedudukan yang pernah menjadi miliknya.”