Saingan Sepak Takraw League (STL) 2026 bakal disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW di Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam dan Macau, bermula dengan Grand Prix Perak minggu ini.
Stadium Indera Mulia di Ipoh menjadi gelanggang pembuka tirai STL Premier pada 21 Oktober, dengan 12 pasukan bakal bersaing dalam tujuh Grand Prix sehingga Januari 2027.
View this post on Instagram
Perak Bison akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan di laman sendiri selepas muncul juara musim lalu dengan 136 mata, mengatasi Kuala Lumpur Thunder yang mengumpul 130 mata dan Melaka Titans dengan 128 mata.
Selepas Perak, saingan akan diteruskan di Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor sebelum berakhir di Selangor.
Musim baharu ini turut menyaksikan pemain terbaik negara kembali beraksi dalam STL selepas kejayaan mereka di Sukan Asia, selain kehadiran pemain import dari Thailand, Filipina dan Jepun.
Malaysia mencipta sejarah di Nagoya bulan lalu apabila menewaskan Thailand 2-0 dalam final acara regu berpasukan lelaki, sekali gus menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih pingat emas acara tersebut.
Skuad kebangsaan tersebut turut membawa pulang pingat perak dalam acara regu lelaki.
View this post on Instagram
Sejak diperkenalkan pada 2014, STL menjadi medan penting buat pemain kebangsaan dan bakat muda untuk mendapatkan pengalaman pertandingan secara konsisten.
Liga ini mempunyai dua divisyen, STL Premier dan Divisyen 1, dengan sistem kenaikan serta penyingkiran pasukan.
Pada 2024, STL Premier mula menggunakan format Grand Prix yang menyaksikan pasukan mengumpul mata daripada setiap pusingan bagi menentukan juara keseluruhan liga.
Bagi musim 2026, setiap Grand Prix membahagikan 12 pasukan kepada empat kumpulan yang mengandungi tiga pasukan.
Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke suku akhir, menerusi format baharu yang memberi peluang kepada lapan pasukan untuk merebut kejuaraan setiap Grand Prix.
Juara Grand Prix akan menerima 32 mata, diikuti naib juara dengan 28 mata, tempat ketiga 24 mata dan tempat keempat 21 mata.
Sistem mata itu menjadikan prestasi konsisten sepanjang tujuh Grand Prix sebagai faktor penting dalam perebutan gelaran keseluruhan.
Sementara itu, trofi pertama musim ini sudah menjadi milik Negeri Sembilan Antlers selepas juara bertahan STL Champions Cup itu menewaskan Perak Bison 2-1 dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 6 Oktober lalu.
View this post on Instagram



