Nicolo Bulega meneruskan prestasi luar biasanya apabila menjuarai Race of Champions yang berlangsung sempena World Ducati Week 2026 di Misano, Itali, pada Ahad.
Pendahulu Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) itu bermula dari petak utama dan menguasai perlumbaan sejauh 10 pusingan dari awal hingga akhir, sebelum melintasi garisan penamat 1.437 saat di hadapan Alberto Surra.
View this post on Instagram
Kemenangan itu melanjutkan prestasi sempurna Bulega pada musim 2026, selepas beliau turut memenangi kesemua 21 perlumbaan WorldSBK yang berlangsung setakat ini.
Race of Champions menghimpunkan barisan pelumba daripada pelbagai kejuaraan yang disokong Ducati, dengan kesemua peserta menggunakan jentera Ducati Panigale V4 yang sama.
Francesco Bagnaia muncul pelumba MotoGP terbaik apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima, manakala juara dunia MotoGP, Marc Marquez, menamatkan saingan di luar kelompok 10 terbaik.
Wakil Malaysia, Hafizh Syahrin, pula menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 daripada 16 pelumba yang mengambil bahagian.
Pelumba JDT Racing Team itu merupakan satu-satunya wakil Asia Road Racing Championship (ARRC) yang menerima jemputan, ketika beliau sedang mengharungi musim yang cukup cemerlang dengan memenangi kesemua enam perlumbaan ASB1000 setakat ini.
View this post on Instagram



