Sachsenring terus menjadi litar kegemaran Marc Marquez apabila kemenangan di Grand Prix Jerman 2026 meletakkannya sebaris dengan legenda MotoGP, Giacomo Agostini.
Pelumba Ducati itu menewaskan gandingan Trackhouse Racing, Ai Ogura dan Raul Fernandez untuk meraih kemenangan ke-10 dalam kelas perdana di Sachsenring.
Kejayaan itu menyamai rekod Agostini sebagai pelumba dengan kemenangan MotoGP/500cc terbanyak di satu litar.
Hubungan istimewa Marquez dengan Sachsenring bermula sejak 2010 menerusi kemenangan sulung dalam kelas 125cc.
Selepas itu, beliau mendominasi litar berkenaan dengan rentetan 11 kemenangan berturut-turut merentasi semua kategori sebelum Fabio Quartararo, Jorge Martin dan Francesco Bagnaia bergilir-gilir muncul juara dari 2022 hingga 2024.
Marquez kembali menakluk Sachsenring pada 2025 dan kejayaan kali ini membolehkannya menyamai rekod Agostini, yang mengumpul 10 kemenangan kelas perdana di Imatra, Finland antara 1965 hingga 1975.
View this post on Instagram
Dengan kontrak baharu bersama Ducati sehingga 2028, Marquez dijangka berpeluang untuk muncul pemegang tunggal rekod kemenangan kelas perdana terbanyak di satu litar.
Kemenangan di Sachsenring turut menghidupkan semula persaingannya dalam perebutan gelaran dunia apabila beliau kini hanya dibezakan 18 mata dengan pendahulu kejuaraan, selepas pernah ketinggalan lebih 100 mata pada awal musim.
Pelumba dengan kemenangan MotoGP terbanyak di satu litar
| # | Pelumba | Litar | Jumlah |
|---|---|---|---|
| T-1 | Marc Marquez | Sachsenring | 10 |
| T-1 | Giacomo Agostini | Imatra | 10 |
| T-3 | Giacomo Agostini | Spa-Francorchamps | 8 |
| T-3 | Valentino Rossi | Assen | 8 |
| T-5 | Valentino Rossi | Mugello | 7 |
| T-5 | Valentino Rossi | Jerez | 7 |
| T-5 | Valentino Rossi | Catalunya | 7 |
| T-5 | Marc Marquez | Circuit of the Americas | 7 |
| T-5 | Marc Marquez | MotorLand Aragon | 7 |



