Fifa buru impian di The Open

(David Paul Morris/The Masters)

Ketika tumpuan dunia terarah kepada separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026, satu lagi “Fifa” bersedia mencipta cerita di pentas berbeza.

Jika peminat bola sepak menantikan aksi England menentang Argentina serta Sepanyol berdepan Perancis untuk merebut tempat ke final, Thailand pula meletakkan harapan kepada Pongsapak “Fifa” Laopakdee yang bakal memulakan cabarannya di Kejohanan The Open ke-154, yang disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.

Pemain golf amatur berusia 21 tahun itu layak ke The Open selepas menjuarai Kejohanan Amatur Asia-Pasifik tahun lalu, sekali gus memperoleh jemputan ke The Masters dan The Open.

Laopakdee sebelum ini mencipta sejarah apabila muncul pemain golf amatur Thailand pertama beraksi di Augusta National pada penampilan sulungnya di The Masters, April lalu. Bagaimanapun, beliau gagal melepasi cut selepas menamatkan dua pusingan dengan 11-over-par, ketika Rory McIlroy mempertahankan gelarannya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)

Kini, Royal Birkdale membuka satu lagi peluang buat Laopakdee untuk menguji kemampuannya bersama pemain terbaik dunia, selain meneruskan usaha mengukir nama Asia Tenggara di kejohanan golf tertua itu.

Thailand bukanlah nama asing di The Open, dengan beberapa pemainnya pernah beraksi di pentas tersebut termasuk Thongchai Jaidee, Kiradech Aphibarnrat, Jazz Janewattananond, Prom Meesawat, Phachara Khongwatmai dan Sadom Kaewkanjana.

Jaidee kekal sebagai pemain Thailand dengan penampilan terbanyak di The Open menerusi 10 penyertaan, manakala Kaewkanjana memegang rekod pencapaian terbaik negara itu dan Asia Tenggara selepas berkongsi tempat ke-11 pada edisi 2022.

Setakat ini, belum ada pemain Asia yang berjaya menjulang Claret Jug. Namun, prestasi wakil benua itu semakin menyerlah sejak dua dekad lalu, dengan Tom Kim dari Korea Selatan muncul naib juara bersama pada 2023, manakala Li Haotong dari China menamatkan saingan di tempat ketiga pada 2017.

Bagi Laopakdee, penampilan keduanya di kejohanan utama pastinya lebih tertumpu kepada mengutip pengalaman berbanding memburu kejuaraan. Namun, peluang beraksi sekali lagi bersama barisan pemain terbaik dunia menjadi satu lagi langkah penting dalam perkembangan karier pemain muda Thailand itu.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)