Juara dunia Formula 1, Lando Norris, mengakui beliau teringin beraksi bersama legenda MotoGP, Valentino Rossi, dalam perlumbaan 24 Jam Le Mans pada masa depan.
Kedua-duanya bertemu di Goodwood Festival of Speed apabila idea untuk bergandingan di Le Mans dibangkitkan, lebih-lebih lagi Rossi kini aktif dalam perlumbaan ketahanan selepas bersara daripada MotoGP pada 2021.
View this post on Instagram
Cadangan itu terus mendapat sambutan positif daripada Norris, yang tidak teragak-agak menyatakan minat untuk berkongsi jentera dengan juara dunia Grand Prix sembilan kali tersebut.
“Sudah tentu saya mahu,” kata pelumba McLaren itu.
Rossi, yang turut mengetuai pasukan Pertamina Enduro VR46 Racing Team, juga berminat dengan kemungkinan itu, walaupun beliau berseloroh bahawa komitmen Formula 1 Norris mungkin menyukarkan rancangan berkenaan.
“Saya pernah cuba bertanya kepadanya, tetapi pelumba Formula 1 sekarang sangat sibuk,” kata pelumba Itali itu.
Peluang tersebut mungkin sukar direalisasikan dalam masa terdekat kerana jadual Formula 1 Norris yang padat.
Namun, penyertaan McLaren dalam kelas Hypercar Kejuaraan Ketahanan Dunia FIA (WEC) mulai 2027 berpotensi membuka ruang untuk kerjasama itu pada masa depan.
View this post on Instagram
“Jadual Formula 1 terlalu padat, tetapi mungkin dalam beberapa tahun lagi saya boleh melakukannya. Ia satu penghormatan buat saya dan pasti sangat menyeronokkan,” kata Norris.
Jika menjadi kenyataan, gandingan itu akan menemukan Norris dengan salah seorang individu yang paling banyak memberi inspirasi dalam perjalanan karier perlumbaannya.
Mengimbas pertemuan mereka di Goodwood, Norris menyifatkannya sebagai antara detik paling istimewa sepanjang hujung minggu tersebut.
“Ini satu detik yang hebat buat saya. Orang selalu kata jangan jumpa idola anda, tetapi dalam hal ini, memang patut jumpa idola anda,” katanya.
View this post on Instagram



