Alexander Zverev mungkin terlepas peluang menambah koleksi gelaran Grand Slam selepas tewas kepada Jannik Sinner dalam final perseorangan lelaki Wimbledon, namun kemaraannya di All England Club tetap menghadirkan satu pencapaian yang jarang berlaku dalam tenis.
Dengan mara ke final pada Ahad, pemain Jerman berusia 29 tahun itu menjadi pemain lelaki ke-13 dalam Era Terbuka yang pernah beraksi dalam final perseorangan di keempat-empat kejohanan Grand Slam.
View this post on Instagram
Zverev merangkul gelaran Grand Slam pertamanya di Roland Garros 2026 dan muncul naib juara Terbuka Amerika Syarikat 2020 dan Terbuka Australia 2025 sebelum membuat penampilan sulungnya dalam final Wimbledon untuk melengkapkan pencapaian tersebut.
Pemenang pingat emas Olimpik 2020 itu kini sebaris dengan nama-nama besar seperti Rod Laver, Ken Rosewall, Ivan Lendl, Stefan Edberg, Jim Courier, Andre Agassi, Roger Federer, Rafael Nadal, Novak Djokovic, Andy Murray, Jannik Sinner dan Carlos Alcaraz.
Beliau turut menjadi pemain pertama yang dilahirkan pada era 1990-an berjaya mara ke final kesemua empat kejohanan Grand Slam.
Sinner pula merangkul gelaran Grand Slam perseorangan kelimanya selepas berjaya mempertahankan kejuaraan Wimbledon, selain melebarkan kelebihan rekod pertemuan dengan Zverev kepada 11-4.



