Fifa pilih Sepanyol juara Piala Dunia

(Benjamin Gilbert)

Pemain golf Thailand, Pongsapak “Fifa” Laopakdee, menjadikan Sepanyol sebagai pilihan untuk muncul juara Piala Dunia FIFA 2026 selepas kagum dengan aksi dipamerkan pasukan itu sepanjang kejohanan.

Laopakdee, 21, yang mendapat gelaran “Fifa” daripada bapanya, percaya Sepanyol layak dianggap sebagai pasukan pilihan menjelang aksi final menentang Argentina, Ahad ini.

“Saya pilih Sepanyol untuk muncul juara Piala Dunia.

“Mereka bermain dengan cukup baik sepanjang kejohanan dan bagi saya, mereka antara pasukan paling menyerlah,” katanya menjelang penampilan sulungnya di The Open ke-154 di Royal Birkdale, yang disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.

Walaupun sedang membuat persiapan menghadapi kejohanan major keduanya musim ini selepas The Masters pada April lalu, Laopakdee tetap mengikuti perkembangan Piala Dunia.

Sebelum aksi separuh akhir, beliau turut berharap England dapat menewaskan Argentina untuk mara ke final.

“Saya sangat menikmati corak permainan England dan berharap mereka dapat menewaskan Argentina,” katanya.

Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila England terpaksa akur 2-1 kepada juara bertahan itu dan bakal menentang Perancis dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.