Wozniacki puji potensi besar Eala selepas Wimbledon

(AELTC/Kieran Cleeves)

Bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki, percaya Alexandra Eala memiliki potensi untuk muncul sebagai antara pemain terbaik dunia selepas mempamerkan aksi cemerlang di Wimbledon baru-baru ini.

Eala mara ke pusingan keempat di All England Club awal bulan ini, termasuk mencipta kejutan dengan menewaskan juara bertahan Wimbledon, Iga Swiatek, sebelum langkahnya terhenti selepas tewas kepada Jasmine Paolini dalam pertarungan tiga set.

Bercakap kepada Tennis365, Wozniacki memuji permainan serba boleh dan ketenangan Eala di gelanggang, sambil menyifatkan servis sebagai aspek utama yang masih boleh dipertingkatkan.

“Saya rasa dia mempunyai potensi yang besar,” kata juara Terbuka Australia 2018 itu.

“Dia mempunyai permainan yang lengkap. Dia sangat baik dari garisan belakang gelanggang. Saya rasa menjadi pemain kidal banyak membantunya, walaupun servisnya masih belum begitu baik dan itu merupakan aspek yang paling perlu dipertingkatkan.

“Tetapi pukulan slice daripada servis kidalnya memberi kelebihan dan sering menyukarkan lawan.”

Wozniacki turut memuji ketenangan serta kebijaksanaan taktikal Eala, yang menurutnya menjadi antara kekuatan utama pemain Filipina itu.

“Saya suka sikapnya, dan saya juga suka cara dia membaca permainan. Dia mempunyai IQ tenis yang tinggi.

“Dan saya yakin kita akan terus melihatnya beraksi di pentas tertinggi untuk tempoh yang panjang.”

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Tennis365 (@tennis365official)