Grandstand khas untuk Hakim Danish sempena GP Malaysia

Kejayaan cemerlang Hakim Danish Ramli dalam musim sulung Moto3 bakal menerima penghargaan istimewa apabila satu grandstand khas akan disediakan sempena Grand Prix Malaysia tahun ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu menikmati permulaan mengagumkan dalam karier Grand Prix apabila meraih kemenangan sulung di Grand Prix Czechia selain menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Mugello.

Kejayaan di Brno itu turut menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk kemenangan Grand Prix, selepas Khairul Idham Pawi menjadi pelumba negara terakhir melakukannya pada 2016.

Inisiatif grandstand khas itu diumumkan oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Selasa selepas Hakim kembali ke Malaysia bagi cuti pertengahan musim.

“Kita akan adakan satu tribun khas untuk Hakim Danish. Siapa yang belum lagi beli tiket tunggu, ataupun boleh beli sekarang dan tukar untuk tribun Hakim Danish,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, seperti dipetik Bernama.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Tarmac Sports (@tarmacsportsmy)

Hakim menyambut baik penghargaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu motivasi tambahan menjelang penampilan di Sepang.

“Ini satu rezeki. Terima kasih atas penghargaan ini. Ia memberi saya motivasi dan semangat tambahan untuk berlumba di Sepang nanti,” katanya.

Inisiatif itu hadir dalam tahun penting buat sukan permotoran Malaysia, selepas Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pelancaran musim MotoGP 2026, sebelum Litar Antarabangsa Sepang turut mengesahkan lanjutan kontrak untuk kekal dalam kalendar kejuaraan sehingga akhir musim 2031.