Kembalinya Litar Antarabangsa Sepang ke dalam kalendar Formula One (F1) menyaksikan musim 2026 mencipta rekod baharu apabila enam litar akan menjadi tuan rumah perlumbaan F1 dan MotoGP dalam tahun yang sama.
Rekod itu tercipta selepas F1 mengumumkan pada Ahad bahawa Sepang akan menganjurkan Grand Prix Bahrain pada 4 Oktober susulan konflik di Asia Barat, sekali gus mengembalikan bekas tuan rumah Grand Prix Malaysia itu ke kalendar kejuaraan buat kali pertama sejak 2017.
View this post on Instagram
F1 dan MotoGP kini akan berkongsi enam litar pada musim ini, iaitu Sepang, Circuit de Barcelona-Catalunya di Sepanyol, Silverstone di Britain, Red Bull Ring di Austria, Circuit of the Americas (COTA) di Austin serta Litar Antarabangsa Lusail di Qatar.
Ia merupakan jumlah tertinggi pernah dicatatkan sejak kedua-dua kejuaraan dunia itu berlangsung serentak.
Sebelum ini, rekod tertinggi ialah lima litar yang dikongsi F1 dan MotoGP, kali terakhir dicapai pada 2017 ketika Sepang masih berada dalam kalendar F1 bersama Barcelona, Silverstone, Red Bull Ring dan COTA.
Bagaimanapun, rekod baharu itu masih belum terjamin kerana jumlah berkenaan boleh kembali berkurangan kepada lima sekiranya Grand Prix Qatar bagi salah satu atau kedua-dua kejuaraan tidak dapat diteruskan susulan konflik di Asia Barat.
Ketika ini, Lusail dijadual menjadi tuan rumah MotoGP pada 8 November sebelum menganjurkan perlumbaan F1 tiga minggu kemudian.
Sepang pernah menjadi tuan rumah F1 dari 1999 hingga 2017, manakala MotoGP terus menjadikan litar itu sebagai venue tetap sejak 1999 tanpa sebarang gangguan.
Ini menjadikan Sepang antara segelintir litar di dunia yang mempunyai sejarah panjang dalam kedua-dua kejuaraan berkenaan.
Kalendar tahunan Sepang turut merangkumi Asian Le Mans Series, GT World Challenge Asia, TCR Asia Tour, Asia Road Racing Championship (ARRC) dan Moto4 Asia Cup, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara litar tetap paling aktif dan versatil di dunia.
| Litar (2026) | MotoGP | F1 |
|---|---|---|
| Circuit of the Americas (COTA), Amerika Syarikat | 29 Mac | 25 Oktober |
| Circuit de Barcelona-Catalunya, Sepanyol | 17 Mei | 14 Jun |
| Litar Silverstone, Britain | 9 Ogos | 5 Julai |
| Red Bull Ring, Austria | 20 September | 28 Jun |
| Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia | 1 November | 4 Oktober |
| Litar Antarabangsa Lusail, Qatar | 8 November | 29 November |



