WEC ikut jejak F1 rombak kalendar susulan konflik Asia Barat
Oleh Lee Seng Foo6 hari lalu
Kejohanan Endurance Dunia FIA (WEC) menjadi siri perlumbaan terbaharu yang mengubah kalendar musim 2026 susulan konflik berterusan di Asia Barat, apabila pusingan di Qatar dan Bahrain digantikan dengan perlumbaan di Sepanyol serta Itali.
WEC mengumumkan pada Selasa bahawa perlumbaan sulung 8 Hours of Barcelona akan berlangsung di Circuit de Barcelona-Catalunya pada 18 Oktober, sebelum musim ditutup menerusi 8 Hours of Monza pada 8 November.
Kedua-dua perlumbaan itu menggantikan Qatar 1812km yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 24 Oktober serta 8 Hours of Bahrain yang sepatutnya diadakan pada 7 November.
Menurut FIA WEC, situasi keselamatan semasa di rantau itu, termasuk kesannya terhadap urusan logistik dan perjalanan, menyebabkan kedua-dua pusingan di Asia Barat tidak dapat diteruskan mengikut perancangan.
Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas Formula One (F1) mengesahkan Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain pada 4 Oktober bagi menggantikan perlumbaan yang dibatalkan di Sakhir, sekali gus memastikan perlumbaan itu kekal dalam kalendar musim 2026.
Sementara itu, pemandu Toyota, Nyck de Vries, yang muncul juara perlumbaan kedua Tokyo E-Prix Formula E hujung minggu lalu, masih kekal dalam perebutan kejuaraan dunia WEC selepas empat pusingan berlangsung.
Bekas pemain nombor satu dunia, Venus Williams, serta bintang Kazakhstan, Alexander Bublik, menjadi antara nama terbaharu yang mengesahkan penyertaan dalam kejohanan beregu campuran Terbuka AS 2026.
Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) mengumumkan 13 lagi gandingan pada Isnin, menjadikan jumlah penyertaan setakat ini meningkat kepada 29 pasangan bagi kejohanan yang akan berlangsung sempena US Open Fan Week dari 24 hingga 26 Ogos.
Turut mencuri perhatian ialah penyertaan dua pasangan suami isteri, Elina Svitolina/Gael Monfils dan Katie Boulter/Alex de Minaur.
Antara gandingan lain yang disahkan ialah Karolina Muchova/Jakub Mensik, Emma Navarro/Tommy Paul, Maria Sakkari/Karen Khachanov, Anna Kalinskaya/Lorenzo Musetti serta Jelena Ostapenko/Marcelo Arevalo.
Kesemua mereka menyertai senarai awal yang diumumkan minggu lalu, termasuk juara baharu Terbuka Washington, Alexandra Eala, yang akan bergandingan dengan pemain nombor empat dunia dari Kanada, Felix Auger-Aliassime.
Turut tersenarai ialah pasangan Aryna Sabalenka/Novak Djokovic, Iga Swiatek/Casper Ruud, Naomi Osaka/Kei Nishikori dan Jessica Pegula/Jack Draper.
Kejohanan beregu campuran Terbuka AS menggunakan format berasingan sempena Fan Week sejak tahun lalu bagi menarik lebih ramai pemain perseorangan terbaik dunia mengambil bahagian.
Enam pasangan akan layak secara automatik berdasarkan gabungan ranking perseorangan selepas penyertaan ditutup pada 17 Ogos.
Lapan slot wildcard dan dua tempat menerusi pusingan kelayakan pula akan melengkapkan senarai 16 pasangan yang bertanding.
Gandingan Itali, Sara Errani dan Andrea Vavassori, kembali mempertahankan gelaran selepas muncul juara dua tahun berturut-turut, termasuk menewaskan Swiatek dan Ruud pada final tahun lalu.
Rafael Nadal menzahirkan ucapan tahniah kepada Alexandra Eala selepas bintang Filipina itu merangkul gelaran perseorangan Jelajah WTA pertama dalam kariernya menerusi kebangkitan bergaya di Terbuka Washington 2026.
Bekas pemain nombor satu dunia yang juga pengasas Akademi Rafa Nadal di Mallorca itu berkongsi ucapan berkenaan di media sosial selepas Eala menewaskan pemain nombor tiga dunia, Jessica Pegula, 4-6, 6-4, 6-0 dalam perlawanan akhir.
"Tahniah, Eala! Minggu yang luar biasa di Washington! Kejuaraan ini memang layak buat segala usaha keras yang telah dilakukan. Tahniah juga kepada Filipina dan seluruh warga Akademi Rafa Nadal!" tulis Nadal.
Eala menyertai Akademi Rafa Nadal ketika berusia 13 tahun sebelum menamatkan pengajiannya pada 2023, dan Nadal sentiasa mengikuti rapat perkembangan karier pemain itu sejak melangkah ke pentas profesional.
Kejayaan di Washington turut menyaksikan Eala muncul pemain Filipina pertama memenangi gelaran perseorangan peringkat Jelajah WTA.
Lebih manis, beliau melakar kejayaan itu selepas mengharungi laluan mencabar dengan menewaskan juara Olimpik Zheng Qinwen, juara bertahan Leylah Fernandez, pemain nombor 10 dunia Elina Svitolina serta juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka, sebelum menundukkan Pegula dalam final yang tertangguh akibat hujan.
Kejuaraan itu menambah lagi senarai pencapaian Eala pada musim ini selepas mara ke pusingan keempat Wimbledon serta melonjak ke ranking tertinggi karier di tangga ke-20 dunia.
Eala dijadual meneruskan kempen gelanggang keras di Amerika Utara menerusi Terbuka Kanada dan Terbuka Cincinnati sebelum beraksi di Terbuka AS. Selain acara perseorangan, beliau turut akan bergandingan dengan Felix Auger-Aliassime dari Kanada dalam saingan beregu campuran.
MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini selepas cuti pertengahan musim apabila Silverstone menjadi gelanggang Grand Prix Britain 2026. Menjelang aksi yang disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW, berikut lima perkara menarik yang wajar diberi perhatian.
Perebutan kejuaraan paling sengit
Perebutan gelaran dunia MotoGP musim ini kembali bersambung dengan hanya 24 mata memisahkan lima pelumba terbaik selepas 11 pusingan. Ia merupakan persaingan paling rapat pada peringkat ini sejak musim 2020 yang terjejas akibat pandemik COVID-19, ketika lima pelumba teratas dipisahkan hanya 29 mata.
Sebagai perbandingan, Marc Marquez sudah memiliki kelebihan 83 mata ke atas Alex Marquez selepas 11 pusingan musim lalu.
Silverstone terus mempertahankan reputasinya sebagai antara litar paling sukar diramal dalam MotoGP apabila 11 edisi terakhir Grand Prix Britain menyaksikan 11 pemenang berbeza. Rentetan itu bermula dengan kemenangan Jorge Lorenzo pada 2013 sebelum Marco Bezzecchi menjadi pemenang terbaharu musim lalu.
Rekod aktif kedua terbaik hanyalah enam pemenang berbeza berturut-turut, yang dikongsi Qatar, Barcelona dan Circuit of the Americas.
Hanya tiga pelumba MotoGP menang di Donington dan Silverstone
Ramai pelumba pernah memenangi Grand Prix di Donington Park dan Silverstone dalam kelas berbeza, namun hanya tiga berjaya melakukannya dalam kelas MotoGP. Casey Stoner menang di Donington pada 2007 dan 2008 sebelum menjuarai perlumbaan di Silverstone pada 2011.
Valentino Rossi pula melengkapkan pencapaian itu menerusi kemenangan di Silverstone pada 2015 selepas terlebih dahulu memenangi tujuh perlumbaan MotoGP di Donington, manakala Andrea Dovizioso menambah kemenangan di Silverstone pada 2017 selepas meraih kemenangan sulung MotoGP di Donington lapan tahun sebelumnya.
Silverstone penuh cerita buat Marquez
Silverstone jarang menyaksikan Marc Marquez mengharungi hujung minggu yang biasa. Daripada 10 penampilannya dalam MotoGP di litar itu sejak 2013, juara dunia lapan kali itu meraih empat penamat podium termasuk satu kemenangan pada 2014, tetapi turut gagal menamatkan empat perlumbaan. Dalam dua lagi penampilan, beliau menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Ringkasnya, setiap kali berlumba di Silverstone dalam MotoGP, Marquez sama ada menaiki podium, terlepas podium di tempat keempat atau gagal menamatkan perlumbaan.
Lebih banyak aksi di Silverstone
Selain MotoGP, Moto2 dan Moto3, hujung minggu Grand Prix Britain turut menampilkan saingan Moto4 British Talent Cup serta Harley-Davidson Bagger World Cup. Tumpuan turut terarah kepada bekas pelumba MotoGP, Bradley Smith, yang menerima tiket wildcard untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Perebutan gelaran dunia MotoGP 2026 memasuki separuh kedua musim dalam keadaan paling sengit sejak perlumbaan sprint diperkenalkan, dengan hanya 24 mata memisahkan lima pelumba teratas selepas 11 pusingan.
Keadaan itu menjadikan setiap mata semakin berharga, termasuk yang dipertandingkan pada perlumbaan sprint setiap Sabtu, yang kini mampu memberi kesan besar terhadap kedudukan keseluruhan kejuaraan.
Jorge Martin tiba di Grand Prix Britain hujung minggu ini selaku pendahulu dengan 208 mata. Namun, pelumba Aprilia itu hanya memiliki kelebihan 14 mata ke atas Ai Ogura, manakala juara bertahan Marc Marquez berada empat mata lagi di belakang. Marco Bezzecchi dan Fabio Di Giannantonio pula masih berada dalam jarak satu kemenangan untuk memintas pendahulu.
Jika sebelum ini penentuan kejuaraan banyak bergantung kepada keputusan Grand Prix pada Ahad, situasinya kini berbeza. Sejak perlumbaan sprint diperkenalkan pada 2023, pelumba bukan sahaja perlu pantas pada hari perlumbaan utama, malah dituntut mengutip mata secara konsisten sepanjang hujung minggu.
Musim 2024 menjadi contoh terbaik bagaimana perlumbaan sprint mampu mengubah haluan kejuaraan. Walaupun Francesco Bagnaia mengumpul 33 mata lebih banyak dalam perlumbaan Grand Prix, Martin menebus kekurangan itu menerusi aksi sprint dengan meraih 43 mata lebih banyak pada hari Sabtu sebelum akhirnya muncul juara dunia dengan kelebihan 10 mata.
Corak yang sama kembali kelihatan musim ini. Marquez hanya mengumpul 117 mata daripada perlumbaan Grand Prix, paling rendah dalam kelompok lima pencabar utama. Namun, empat kemenangan sprint membolehkannya mengumpul 73 mata pada hari Sabtu, sekali gus memastikan peluangnya memburu kejuaraan terus terbuka.
Martin pula terus cemerlang dalam perlumbaan sprint dengan 63 mata, manakala Ogura membina cabaran kejuaraannya menerusi aksi Grand Prix. Pelumba Jepun itu memiliki kutipan mata Grand Prix kedua tertinggi musim ini, tetapi hanya berada di tangga keenam dari segi kutipan mata sprint.
Bezzecchi pula memperlihatkan corak yang bertentangan. Walaupun mengumpul 153 mata Grand Prix, paling banyak dalam kalangan semua pelumba, dia hanya meraih 33 mata dalam perlumbaan sprint. Raul Fernandez pula muncul antara pakar sprint musim ini apabila mengutip 59 mata pada hari Sabtu untuk membantunya menghuni tangga keenam keseluruhan.
Dengan baki 11 pusingan lagi, perlumbaan sprint kini bukan lagi sekadar pembuka tirai hujung minggu. Dalam perebutan kejuaraan yang begitu rapat, keputusan pada hari Sabtu mungkin menjadi faktor yang membezakan antara juara dunia dan naib juara apabila musim berakhir.
Kedudukan Pelumba MotoGP 2026 Selepas Grand Prix Jerman