WEC ikut jejak F1 rombak kalendar susulan konflik Asia Barat

Kejohanan Endurance Dunia FIA (WEC) menjadi siri perlumbaan terbaharu yang mengubah kalendar musim 2026 susulan konflik berterusan di Asia Barat, apabila pusingan di Qatar dan Bahrain digantikan dengan perlumbaan di Sepanyol serta Itali.

WEC mengumumkan pada Selasa bahawa perlumbaan sulung 8 Hours of Barcelona akan berlangsung di Circuit de Barcelona-Catalunya pada 18 Oktober, sebelum musim ditutup menerusi 8 Hours of Monza pada 8 November.

Kedua-dua perlumbaan itu menggantikan Qatar 1812km yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 24 Oktober serta 8 Hours of Bahrain yang sepatutnya diadakan pada 7 November.

Menurut FIA WEC, situasi keselamatan semasa di rantau itu, termasuk kesannya terhadap urusan logistik dan perjalanan, menyebabkan kedua-dua pusingan di Asia Barat tidak dapat diteruskan mengikut perancangan.

Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas Formula One (F1) mengesahkan Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain pada 4 Oktober bagi menggantikan perlumbaan yang dibatalkan di Sakhir, sekali gus memastikan perlumbaan itu kekal dalam kalendar musim 2026.

Sementara itu, pemandu Toyota, Nyck de Vries, yang muncul juara perlumbaan kedua Tokyo E-Prix Formula E hujung minggu lalu, masih kekal dalam perebutan kejuaraan dunia WEC selepas empat pusingan berlangsung.