Gresini bawa tema One Piece ke jelajah Asia MotoGP

Gresini Racing membawa kelainan menjelang siri perlumbaan MotoGP di Asia dan Australia dengan menghasilkan peta perjalanan pasukan berkonsepkan One Piece.

Pasukan Itali itu berkongsi peta khas yang menghubungkan empat Grand Prix seterusnya dengan lokasi terkenal dalam dunia fiksyen One Piece.

Jepun digambarkan sebagai Wano, diikuti Indonesia sebagai Amazon Lily, Australia sebagai Alabasta dan Malaysia sebagai Sabaody Archipelago.

Gresini menamakan perjalanan itu sebagai “Grand Prix Line”, mengambil inspirasi daripada Grand Line yang dilalui Monkey D. Luffy bersama kumpulan Straw Hat Pirates dalam siri berkenaan.

Tema itu cukup bertepatan ketika MotoGP menuju ke Motegi untuk Grand Prix Jepun, yang membuka siri empat perlumbaan berturut-turut di Jepun, Indonesia, Australia dan Malaysia.

Grand Prix Jepun akan menjadi permulaan kepada jelajah tersebut, dengan perlumbaan MotoGP boleh disaksikan secara langsung menerusi SPOTV NOW.

Penggunaan tema One Piece meneruskan pendekatan kreatif Gresini yang sering menggabungkan dunia MotoGP dengan budaya popular dalam kandungan media sosial mereka.

Pada 2024, pasukan itu memperkenalkan projek Facciamo un Cinema dengan pelumbanya tampil dalam pelbagai olahan filem serta poster terkenal sepanjang musim.

Setahun kemudian, Gresini beralih kepada dunia muzik menerusi Gresini Records, menyaksikan Alex Marquez dan Fermin Aldeguer menghasilkan semula beberapa kulit album terkenal.

Untuk musim ini, konsep berkenaan sekali lagi berubah menerusi Gresinix, kali ini mengambil inspirasi daripada siri televisyen popular.

Antara siri yang pernah mendapat sentuhan Gresini ialah The Simpsons, The White Lotus, The Last of Us, The Big Bang Theory, Cobra Kai dan Breaking Bad, dengan pelumba mereka menjadi watak utama dalam setiap olahan.