Eain Yow, Sivasangari cipta sejarah layak ke LA28

(Olympic Council of Malaysia/Facebook)

Ng Eain Yow dan Sivasangari Subramaniam mencipta sejarah apabila menjadi dua pemain skuasy pertama mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas masing-masing meraih emas perseorangan di Sukan Asia 2026.

Kedua-dua wakil negara mempertahankan gelaran masing-masing di Aichi-Nagoya pada Ahad, sekali gus memperoleh tiket automatik ke Los Angeles 2028 (LA28) yang bakal menyaksikan skuasy dipertandingkan buat kali pertama di pentas Olimpik.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by World Squash (@worldsquashofficial)

Ng terlebih dahulu mengesahkan tempat selepas menewaskan pemain India, Abhay Singh 11-9, 11-5, 11-5 dalam final perseorangan lelaki.

Pemain berusia 28 tahun itu mengharungi keseluruhan kejohanan tanpa kehilangan satu game sebelum muncul pemain skuasy pertama dalam sejarah layak ke Sukan Olimpik.

Tidak lama kemudian, Sivasangari menyusul dengan kemenangan meyakinkan ke atas seorang lagi wakil India, Anahat Singh dalam final perseorangan wanita.

Pemain nombor lima dunia itu hanya memerlukan tiga game untuk menundukkan Anahat, 18, dengan keputusan 11-4, 11-4, 11-7 sekali gus mempertahankan emas perseorangan Sukan Asia.

Kejayaan berganda itu turut menjadikan Ng dan Sivasangari atlet Malaysia pertama mengesahkan tempat ke LA28, lebih 20 bulan sebelum temasya tersebut membuka tirai.

Skuasy akan membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik di Los Angeles dengan acara perseorangan lelaki dan wanita masing-masing menampilkan 16 pemain.

Sukan Asia 2026 menjadi kejohanan pertama menawarkan tiket kelayakan ke LA28, dengan pemenang emas perseorangan lelaki dan wanita mendapat tempat secara automatik.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by World Squash (@worldsquashofficial)