Alexandra Eala terus mendapat pengiktirafan di luar gelanggang apabila dipilih dalam senarai TIME100 Next 2026, dengan Rafael Nadal turut memberikan penghormatan kepada bintang tenis Filipina itu.
Eala menjadi satu-satunya pemain tenis yang tersenarai dalam pilihan tahunan majalah TIME, yang mengetengahkan individu sedang meningkat naik dan dijangka memberi pengaruh besar dalam bidang masing-masing.
Pemain Filipina itu disenaraikan dalam kategori Innovators selepas melalui musim cemerlang yang menyaksikannya meraih gelaran WTA Tour pertama di Washington serta menembusi kelompok 20 terbaik dunia.
View this post on Instagram
Nadal, yang mengikuti perkembangan Eala sejak pemain itu menjalani latihan di akademinya, memuji sikap serta kesungguhan pemain berkenaan untuk terus berkembang.
“Salah satu kekuatan terbesarnya adalah kesediaan untuk mendengar, belajar dan terus memperbaiki diri,” tulis juara Grand Slam 22 kali itu.
Nadal turut menyifatkan Eala sebagai seorang yang “mesra, mudah didekati dan merendah diri”, terutama dalam menangani perhatian yang semakin meningkat terhadapnya.
Walaupun sudah mencatat beberapa pencapaian besar musim ini, Nadal percaya Eala masih mempunyai banyak ruang untuk meningkatkan permainannya.
Bekas pemain nombor satu dunia itu turut berkongsi satu kisah menarik mengenai pertemuan mereka selepas dia bersara daripada tenis.
Eala menjadi pemain pertama yang turun ke gelanggang bersama Nadal selepas persaraannya apabila juara Grand Slam itu menerima pelawaannya untuk menjalani latihan bersama selepas beberapa bulan tidak bermain.
Selain Eala, beberapa atlet lain turut disenaraikan dalam TIME100 Next 2026 termasuk pemain bola keranjang Tyrese Maxey dan Olivia Miles, pemain bola sepak Naomi Girma dan Folarin Balogun, quarterback bola sepak Amerika Arch Manning serta pemain kriket Vaibhav Sooryavanshi.



