Liga Arab Saudi buat penampilan sulung dalam Football Manager 27

Peminat Football Manager kini berpeluang mengendalikan kelab Liga Arab Saudi buat kali pertama apabila saingan tersebut dimasukkan dalam Football Manager 27 (FM27) yang bakal dilancarkan bulan depan.

Kehadiran liga itu membolehkan pemain membina pasukan yang dibarisi bintang antarabangsa seperti Cristiano Ronaldo, Ollie Watkins, Gabriel Martinelli dan Tijjani Reijnders.

Kesemua 18 kelab Liga Arab Saudi akan ditampilkan dalam FM27 lengkap dengan logo rasmi, jersi dan gambar pemain menerusi kerjasama antara pihak liga dengan pembangun permainan, Sports Interactive, yang diumumkan pada Selasa.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Football Manager (@footballmanager)

Pengarah pembangunan perniagaan Sports Interactive, Richard Trafford, menyambut baik penyertaan Liga Arab Saudi yang menjadikan jumlah negara dengan liga boleh dimainkan dalam FM27 meningkat kepada 59.

Menurutnya, penyertaan liga tersebut sudah lama dinantikan peminat Football Manager.

“Liga ini sudah lama diminta untuk dimasukkan dalam permainan kami dan kerjasama dengan pihak mereka amat baik dalam menjayakannya,” katanya.

“Kami berharap peminat dapat mengenali liga dan kelab-kelabnya dengan lebih dekat menerusi permainan ini.

“Kami juga mahu meneroka lebih banyak peluang kerjasama pada masa depan seiring usaha memperluas pengaruh Football Manager di Timur Tengah.”

Kerjasama dengan Sports Interactive itu menyusul selepas Liga Arab Saudi turut menjalin kerjasama dengan permainan pengurusan bola sepak mudah alih, Top Eleven, pada awal musim ini.

Langkah tersebut memperluas lagi kehadiran liga berkenaan dalam industri permainan video bola sepak.

FM27 dijadual dilancarkan di seluruh dunia pada 10 November, namun peminat boleh mencubanya lebih awal menerusi versi percubaan percuma untuk PC dan Mac dari 30 Oktober hingga 4 November.

Saksikan saingan Liga Arab Saudi secara langsung menerusi SPOTV NOW.