Grand Prix Malaysia kembali menghangatkan Litar Antarabangsa Sepang dari 30 Oktober hingga 1 November, dengan ribuan peminat dijangka hadir untuk menyaksikan aksi MotoGP.
Sebelum perlumbaan bermula, berikut lima fakta menarik mengenai Grand Prix Malaysia 2026 yang boleh disaksikan secara langsung menerusi SPOTV NOW.
View this post on Instagram
Sepang antara litar kegemaran Ducati
Sukar untuk menafikan kehebatan Ducati di Sepang. Sejak Grand Prix Malaysia mula berlangsung di litar itu pada 1999, pengeluar Itali berkenaan sudah mencatat kemenangan terbanyak dalam kelas utama dengan sembilan kemenangan.
Enam kemenangan itu hadir dalam lapan edisi terakhir sejak 2016, tidak termasuk 2020 dan 2021 apabila perlumbaan dibatalkan akibat pandemik COVID-19. Andrea Dovizioso menang dua tahun berturut-turut pada 2016 dan 2017, diikuti Francesco Bagnaia pada 2022 dan 2024, Enea Bastianini pada 2023 serta Alex Marquez tahun lalu. Malah, Ducati menyapu bersih empat kedudukan teratas dalam perlumbaan utama pada 2023 dan 2024.
Rekod Sprint mereka juga sempurna di Sepang. Ketiga-tiga perlumbaan setakat ini dimenangi pelumba Ducati, iaitu Alex Marquez, Bagnaia dan Jorge Martin.
Pemenang dalam tiga kelas di Sepang
Maverick Vinales bukan sahaja pelumba terakhir yang menewaskan Ducati dalam Grand Prix Malaysia, malah Sepang mempunyai tempat istimewa dalam kariernya. Kemenangan bersama Yamaha pada 2019 melengkapkan tiga kejayaannya di litar itu dalam tiga kategori berbeza.
Vinales mula mencipta nama di Sepang dengan kemenangan 125cc pada 2011, sebelum mengulangi kejayaan itu dalam Moto2 pada 2014. Dia kemudian menambah kemenangan MotoGP pada 2019, lapan tahun selepas kejayaan pertamanya.
Penantian pemenang Malaysia di laman sendiri
Grand Prix Malaysia sudah berlangsung lebih tiga dekad, tetapi peminat tempatan masih menanti kemenangan pertama pelumba negara dalam perlumbaan kejuaraan dunia di tanah air.
Sejak penganjuran sulung di Shah Alam pada 1991, diikuti Johor pada 1998 dan Sepang mulai 1999, belum ada wakil Malaysia yang berjaya menaiki podium tertinggi dalam mana-mana kelas.
Zulfahmi Khairuddin hampir menamatkan penantian itu pada 2012. Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Zulfahmi bermula dari pole position dan memberikan saingan hebat kepada Sandro Cortese dalam perlumbaan Moto3. Namun, dia terlepas kemenangan dengan perbezaan hanya 0.028 saat, sekali gus menyaksikan Cortese mengesahkan gelaran juara dunia.
Qatar, Thailand dan Indonesia juga belum pernah menyaksikan kemenangan pelumba tempatan dalam Grand Prix masing-masing, tetapi ketiga-tiganya mula menjadi tuan rumah lebih lewat berbanding Malaysia.
Tribun penyokong sendiri untuk Hakim Danish
Tumpuan peminat Malaysia kali ini pastinya terarah kepada Hakim Danish yang bakal beraksi di Sepang buat kali pertama sebagai pelumba tetap Moto3. Malah, pihak litar menyediakan Hakim Danish Tribune khusus untuk penyokongnya, dengan semua tiket di kawasan itu sudah habis dijual.
Sambutan tersebut tidak mengejutkan selepas Hakim mencipta sejarah dalam musim sulungnya. Di Brno, dia meraih kemenangan pertama Moto3 walaupun terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14. Kejayaan itu menjadikannya pelumba Malaysia pertama memenangi Grand Prix sejak Khairul Idham Pawi muncul juara di Sachsenring pada 2016.
View this post on Instagram
Qatar jadi destinasi selepas Sepang
Kebiasaannya, MotoGP akan menamatkan siri perlumbaan di Asia sebelum kembali ke Eropah. Namun, jadual musim ini menyaksikan Qatar menjadi persinggahan selepas Grand Prix Malaysia.
Perlumbaan di Lusail yang sepatutnya berlangsung pada April terpaksa dipindahkan ke November susulan situasi di Timur Tengah. Oleh itu, pelumba akan beraksi di Sepang terlebih dahulu sebelum menuju ke Qatar seminggu kemudian, diikuti Portugal dan pusingan penutup musim di Valencia.
Susunan Malaysia diikuti Qatar ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu. Pada 2023, Grand Prix Qatar juga berlangsung selepas Malaysia apabila kerja menaik taraf Litar Lusail menyebabkan perlumbaan itu dipindahkan ke November.
Lebih menarik, kedua-dua perlumbaan pernah diadakan dengan jarak kurang seminggu pada 2005. Ketika itu, Grand Prix Malaysia berlangsung pada Ahad, 25 September, sebelum para pelumba kembali beraksi di Qatar pada Sabtu berikutnya.



