Pasukan Andretti Formula E memperkenalkan livery khas berinspirasikan Nissan Skyline GT-R yang akan digunakan pada kedua-dua jenteranya sempena aksi berganda Tokyo E-Prix hujung minggu ini, yang disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Dihasilkan menerusi kerjasama dengan jenama gaya hidup automotif Jepun terkenal, Liberty Walk, rekaan berwarna krom dan biru itu meraikan budaya automotif Jepun bersempena kunjungan ketiga Formula E ke negara itu, selain perlumbaan malam sulung di ibu negara berkenaan.
Livery tersebut diinspirasikan daripada model ikonik LB-Works GT-R dan Skyline Silhouette keluaran Liberty Walk, menampilkan kemasan krom, sentuhan biru serta tipografi kanji Jepun.
View this post on Instagram
Rekaan itu akan menghiasi jentera berkuasa Porsche yang dipandu juara dunia 2023, Jake Dennis, serta rakan sepasukannya, Felipe Drugovich, bagi menghadapi pusingan kedua terakhir Kejuaraan Dunia ABB FIA Formula E 2025-26.
Kerjasama itu bukan sekadar membabitkan jentera perlumbaan, malah Dennis dan Drugovich turut akan memakai sut perlumbaan khas sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Andretti tiba di Tokyo dengan keyakinan tinggi susulan prestasi memberangsangkan sejak kebelakangan ini, selepas Dennis meraih kemenangan di Sanya dan menaiki podium di Shanghai.
Sementara itu, Pascal Wehrlein mendahului kedudukan keseluruhan pelumba dengan 141 mata menjelang aksi berganda di Tokyo.
Pelumba Porsche tersebut memiliki kelebihan sembilan mata ke atas pencabar terdekat, Mitch Evans, dan 27 mata di depan juara bertahan, Oliver Rowland.



