Dalam sukan seperti MotoGP, kemenangan sering menjadi tumpuan. Namun, kemampuan menamatkan setiap perlumbaan juga tidak kurang pentingnya.
Selepas 11 perlumbaan musim 2026, Luca Marini muncul satu-satunya pelumba sepenuh masa yang masih mengekalkan rekod sempurna dalam setiap Grand Prix, tidak termasuk perlumbaan Sprint pada Sabtu.
View this post on Instagram
Pelumba Honda HRC Castrol itu bukan sahaja memulakan kesemua perlumbaan Ahad, malah berjaya menamatkan setiap satunya dengan melengkapkan keseluruhan 271 pusingan dari Grand Prix Thailand hingga Grand Prix Jerman sebelum aksi berehat seketika untuk cuti pertengahan musim.
Marini menjadi satu-satunya pemilik rekod itu selepas Grand Prix Jerman apabila Fabio Di Giannantonio, yang sebelum ini turut menamatkan setiap perlumbaan Ahad, gagal menghabiskan perlumbaan di Sachsenring akibat kemalangan.
Situasi itu berbeza sama sekali buat beberapa pelumba lain yang bergelut dengan masalah kemalangan dan kecederaan sepanjang musim ini. Joan Mir menjadi pelumba paling banyak gagal menamatkan Grand Prix dengan tujuh kali DNF, diikuti Francesco Bagnaia dan Alex Marquez yang masing-masing empat kali gagal menghabiskan perlumbaan.
Musim ini juga membuktikan bahawa konsistensi sering membawa pulangan lebih besar berbanding kemenangan semata-mata. Walaupun hanya meraih satu kemenangan Grand Prix masing-masing, Jorge Martin dan Ai Ogura kini menduduki dua tangga teratas carta kejuaraan dunia, mengatasi Marco Bezzecchi dan Marc Marquez yang mengumpul tujuh kemenangan secara keseluruhan tetapi kehilangan banyak mata akibat kegagalan menamatkan perlumbaan serta kecederaan.
View this post on Instagram
Marini sendiri masih belum merasai podium musim ini. Keputusan terbaiknya setakat ini ialah penamat di tempat kelima pada Grand Prix Hungary.
Namun, dengan sentiasa mengutip mata setiap kali perlumbaan Ahad, pelumba Itali berusia 28 tahun itu kini berada di tangga ke-10 keseluruhan dengan 79 mata, sekali gus muncul pelumba dengan kedudukan tertinggi yang masih belum menaiki podium. Lebih menarik, Marini berada tiga mata di depan Fermin Aldeguer, meskipun pelumba Sepanyol itu pernah meraih tempat kedua musim ini, selain hanya ketinggalan lapan mata di belakang Alex Marquez.
Konsistensi yang dipamerkan Marini turut memberi manfaat besar kepada Honda. Selain menyumbang mata secara berterusan, keupayaannya menamatkan setiap perlumbaan membolehkan pengeluar Jepun itu mengumpul lebih banyak data perlumbaan ketika mereka terus berusaha merapatkan jurang dengan pasukan-pasukan di hadapan.
Rekod pelumba MotoGP selepas Grand Prix Jerman 2026
| Pelumba | Retired | DNS | Excluded | Out | Jumlah |
|---|---|---|---|---|---|
| Luca Marini | 0 | 0 | 0 | 0 | 0 |
| Ai Ogura | 1 | 0 | 0 | 0 | 1 |
| Diogo Moreira | 1 | 0 | 0 | 0 | 1 |
| Fabio Di Giannantonio | 1 | 0 | 0 | 0 | 1 |
| Franco Morbidelli | 1 | 0 | 0 | 0 | 1 |
| Jack Miller | 1 | 0 | 0 | 0 | 1 |
| Jorge Martin | 1 | 0 | 0 | 0 | 1 |
| Raul Fernandez | 1 | 0 | 0 | 0 | 1 |
| Toprak Razgatlioglu | 1 | 0 | 0 | 0 | 1 |
| Alex Rins | 2 | 0 | 0 | 0 | 2 |
| Brad Binder | 2 | 0 | 0 | 0 | 2 |
| Enea Bastianini | 2 | 0 | 0 | 0 | 2 |
| Fabio Quartararo | 2 | 0 | 0 | 0 | 2 |
| Pedro Acosta | 3 | 0 | 0 | 0 | 3 |
| Fermin Aldeguer | 1 | 1 | 0 | 2 | 4 |
| Maverick Vinales | 1 | 1 | 0 | 2 | 4 |
| Marc Marquez | 2 | 1 | 0 | 1 | 4 |
| Marco Bezzecchi | 2 | 1 | 1 | 0 | 4 |
| Francesco Bagnaia | 4 | 0 | 0 | 0 | 4 |
| Johann Zarco | 2 | 0 | 0 | 5 | 7 |
| Alex Marquez | 4 | 1 | 0 | 2 | 7 |
| Joan Mir | 7 | 0 | 0 | 0 | 7 |



