Kejohanan Wimbledon 2026 hanya tinggal kurang dua bulan lagi, namun beberapa pemain ternama masih berdepan tanda tanya mengenai penyertaan mereka di All England Lawn Tennis Club.
Kecederaan dan tempoh rehat panjang menjejaskan musim beberapa bintang ATP dan WTA, dengan ada antaranya sudah pun terlepas kejohanan penting di gelanggang tanah liat termasuk Terbuka Perancis. Dengan musim gelanggang rumput yang singkat, kebimbangan semakin meningkat sama ada mereka sempat kembali cergas menjelang Wimbledon edisi ke-139.
Carlos Alcaraz
Alcaraz menjadi nama terbesar yang masih belum pasti dapat beraksi di Wimbledon. Juara tujuh Grand Slam ini menarik diri daripada Roland Garros akibat kecederaan pergelangan tangan. Sebelum itu beliau terpaksa berhenti ketika Terbuka Barcelona dan kemudian tidak beraksi di Madrid serta Rome.
Walaupun begitu, pasukannya dilaporkan masih menyasarkan kepulangan semasa musim gelanggang rumput, menjadikan Wimbledon masih dalam perancangan jika proses pemulihan berjalan lancar.
Jack Draper
Draper baru kembali beraksi pada Februari selepas berehat enam bulan akibat kecederaan serius, namun mengalami satu lagi masalah ketika Terbuka Barcelona apabila mengalami kecederaan lutut.
Pemain Britain ini mengesahkan beliau akan terlepas baki musim tanah liat termasuk Roland Garros, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai aksinya di Grand Slam laman sendiri.
Amanda Anisimova
Anisimova bergelut dengan kecederaan pergelangan tangan sejak tewas kepada Belinda Bencic di Terbuka Miami pada Mac. Pemain nombor enam dunia ini pada awalnya dijangka kembali di Rome, namun terpaksa menarik diri sebelum perlawanan pembukaan.
Dengan kekurangan aksi kompetitif sejak dua bulan lalu, tahap kesediaannya untuk menghadapi musim gelanggang rumput masih menjadi persoalan.
Markéta Vondroušová
Vondroušová masih belum kembali sepenuhnya ke saingan perseorangan. Antara penampilan terbarunya hanyalah dalam acara beregu ketika kelayakan Billie Jean King Cup pada April, dan setakat ini belum ada kepastian mengenai tarikh kepulangannya ke aksi perseorangan.
Emma Raducanu
Bekas juara US Open ini menarik diri daripada kejohanan Madrid dan Rome akibat penyakit selepas jangkitan virus yang memaksanya berehat hampir dua bulan. Namun Raducanu kekal optimis untuk kembali beraksi sebelum Roland Garros dan menyasarkan kejohanan di Strasbourg sebagai medan kemunculan semula. Jika sempat kembali cergas, Wimbledon dijangka kekal menjadi sasaran utama musim ini.