Bintang TWICE nyanyi lagu tema kolaborasi Williams F1, ‘DAN DA DAN’

Bintang TWICE, Tzuyu bakal menyanyikan lagu tema rasmi untuk kolaborasi antara pasukan Formula 1 Williams dan anime Jepun, DAN DA DAN.

Williams mengumumkan pada Isnin bahawa penyanyi K-pop dari Taiwan itu akan merakam sebuah lagu baharu yang dicipta khas untuk projek berkenaan.

Tzuyu, yang bersama TWICE sejak kumpulan itu membuat debut pada 2015, turut akan tampil dalam video muzik lagu tersebut.

“Saya benar-benar berbesar hati dan teruja dapat menjadi sebahagian daripada kolaborasi bersama Atlassian Williams F1 Team dan DAN DA DAN, serta menyanyikan lagu tema rasminya,” kata penyanyi berusia 27 tahun itu.

“Gabungan dunia Formula 1, anime dan muzik menjadikan projek ini cukup unik. Saya percaya kolaborasi ini mampu menghasilkan sesuatu yang menarik dan akan diingati peminat di seluruh dunia.”

Kerjasama Williams dengan DAN DA DAN bermula ketika Grand Prix Jepun di Suzuka awal musim ini sebelum diperluaskan menerusi platform peminat Sector Zero serta koleksi barangan eksklusif.

Sebuah jentera Williams F1 dengan rekaan khas DAN DA DAN turut dipamerkan ketika Anime Expo di Los Angeles pada Julai.

Kolaborasi itu kini akan dibawa ke Grand Prix Singapura apabila Tzuyu dijadual hadir bersama Williams sepanjang hujung minggu perlumbaan.