Jadual padat Eala ‘harga sebuah kejayaan’, kata bapa saudara

(AELTC/Simon Bruty)

Kejayaan Alexandra Eala melonjak ke kelompok 20 terbaik dunia hadir bersama cabaran baharu apabila pemain Filipina itu kini perlu mengharungi jadual pertandingan semakin padat.

Perkara itu diakui bapa saudaranya, Noli Eala, yang menyifatkan situasi berkenaan sebagai “harga sebuah kejayaan” susulan kebimbangan terhadap beban pertandingan pemain berusia 21 tahun itu sepanjang kempen gelanggang keras di Amerika Utara.

Eala sudah mengharungi 45 perlawanan dalam 18 kejohanan peringkat WTA dan Grand Slam tahun ini, dengan jadualnya semakin mencabar sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Beliau meraih gelaran perseorangan Jelajah WTA pertama dalam kariernya di Terbuka Washington sebelum terus beraksi di Terbuka Kanada di Toronto, di mana beliau mara sehingga pusingan keempat.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Alexandra Eala (@alex.eala)

Rentetan tujuh kemenangan Eala akhirnya terhenti selepas tewas 4-6, 0-6 kepada Belinda Bencic dari Switzerland.

Sebelum itu, beliau turut berdepan masalah buku lali ketika mencatat kemenangan tiga set ke atas pemain Amerika Syarikat, Caty McNally.

“Ramai yang bimbang mengenai jadual Alex kerana dia beraksi dalam kejohanan besar minggu demi minggu,” tulis Noli menerusi X pada Ahad.

Namun, menurutnya, peningkatan ranking Eala turut membawa komitmen lebih besar dan mengehadkan kebebasannya untuk memilih kejohanan yang mahu disertai.

“Baik atau buruk, sebagai pemain kelompok teratas, Alex diwajibkan mengikut peraturan WTA untuk menyertai semua kejohanan WTA 1000 serta Grand Slam,” katanya sambil merujuk kepada kejohanan di Kanada, Cincinnati, Beijing dan Wuhan yang termasuk dalam jadual Eala.

Mengikut peraturan WTA 2026, pemain berusia 18 tahun ke atas yang layak ke undian utama kejohanan wajib WTA 1000 akan didaftarkan secara automatik.

Kegagalan beraksi tanpa pengecualian yang dibenarkan boleh menyebabkan mereka menerima sifar mata dalam pengiraan ranking.

Keputusan di Grand Slam dan kejohanan wajib WTA 1000 juga memainkan peranan besar dalam pengiraan ranking pemain perseorangan utama, sekali gus menjadikan jadual lebih mencabar antara perkara yang perlu dihadapi Eala selepas peningkatan pesatnya musim ini.

Eala masih mempunyai beberapa kejohanan besar menantinya. Beliau dijadual beraksi di Terbuka Cincinnati sebelum ke New York bagi Terbuka AS, diikuti siri kejohanan Asia yang merangkumi acara WTA 1000 di Beijing dan Wuhan.

Jadual itu juga berpotensi menjadi lebih padat kerana Eala mahu terus mewakili Filipina dalam pertandingan antarabangsa seperti Sukan Asia 2026, sesuatu yang turut diakui Noli sebagai komitmen tambahan di luar Jelajah WTA.

“Ini belum mengambil kira keinginannya untuk bermain bersama pasukan kebangsaan Filipina. Itulah harga sebuah kejayaan,” katanya.