Western United digugurkan daripada A-Leagues

Western United digugurkan daripada saingan A-League Men dan Women musim 2026/27 selepas Australian Professional Leagues (APL) menamatkan perjanjian penyertaan kelab itu susulan masalah kewangan dan pemilikan yang masih belum diselesaikan.

Keputusan itu bermakna kedua-dua pasukan Western United tidak akan kembali beraksi apabila musim baharu bermula pada 16 Oktober, selepas menghabiskan keseluruhan kempen 2025/26 dalam status hibernasi bersyarat.

Pengerusi APL, Stephen Conroy, berkata pihak liga sudah bekerjasama rapat dengan Western United sejak September tahun lalu ketika kelab berkenaan berusaha menyelesaikan isu kewangan, tadbir urus dan perundangan yang dihadapi.

Namun, lembaga APL akhirnya mengambil keputusan untuk menggugurkan Western United selepas mendapati kelab itu gagal memenuhi beberapa tanggungjawab yang ditetapkan, termasuk pematuhan terhadap Peraturan Pelesenan Kelab Kebangsaan Football Australia.

Perkembangan terbaharu itu hadir hampir setahun selepas WMG Football Club Limited, syarikat yang memiliki dan mengendalikan Western United, diperintahkan menjalani proses pembubaran oleh Mahkamah Persekutuan Australia.

Meskipun kini digugurkan daripada A-Leagues, Western United menegaskan keputusan itu tidak semestinya menandakan berakhirnya perjalanan kelab berkenaan.

Dalam kenyataannya, Western United berkata mereka sudah bekerjasama dengan APL untuk mencari jalan bagi memastikan kelangsungan kelab di bawah pemilikan baharu, dengan perkembangan terbaharu itu membuka ruang kepada kemasukan pelabur serta pengurusan baharu.

Western United kini menyasarkan untuk kembali ke A-Leagues pada musim 2027/28, dengan usaha mengekalkan identiti kelab serta struktur akademinya di barat Melbourne menjadi antara keutamaan.

Western United menyertai A-League Men sebagai pasukan baharu pada 2019 sebelum muncul juara hanya tiga tahun kemudian, manakala skuad wanita mereka mencipta kejutan dengan muncul naib juara pada musim sulung 2022/23.