Rio de Janeiro lancar era baharu MotoGP 2027

(Luca Gambuti/MotoGP)

MotoGP memilih Rio de Janeiro sebagai pentas pelancaran musim 2027 yang bakal membuka lembaran baharu kejuaraan dunia itu menerusi pengenalan jentera 850cc.

Acara berkenaan akan berlangsung pada 21 Februari di Pantai Botafogo, dengan kesemua pelumba, pasukan dan pengeluar MotoGP bakal memperkenalkan barisan serta jentera generasi baharu masing-masing.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

Rio menjadi bandar ketiga menganjurkan acara pelancaran musim MotoGP secara besar-besaran selepas Bangkok pada 2025 dan Kuala Lumpur tahun ini, yang menyaksikan acara berkenaan berkembang daripada sekadar sesi memperkenalkan pasukan kepada antara acara utama menjelang musim baharu.

Menurut MotoGP, edisi Kuala Lumpur menjana impak ekonomi melebihi AS$7 juta, manakala acara di Rio dijangka menjadi yang terbesar setakat ini dengan pelbagai aktiviti peminat, persembahan pelumba dan pasukan serta hiburan secara langsung di sepanjang kawasan pesisir pantai.

Pemilihan Brazil hadir selepas negara itu kembali dalam kalendar MotoGP musim ini buat kali pertama selepas 22 tahun.

Hampir 150,000 penonton membanjiri Goiânia sepanjang hujung minggu perlumbaan yang menyaksikan tiket habis terjual.

Selepas acara pelancaran di Rio, tumpuan akan beralih ke Asia Tenggara kurang dua minggu kemudian apabila Litar Antarabangsa Chang di Thailand menjadi gelanggang pembukaan musim dari 5 hingga 7 Mac.

Musim 2027 bakal menyaksikan antara perubahan terbesar dalam sejarah MotoGP apabila enjin 1,000cc digantikan dengan 850cc, Pirelli mengambil alih sebagai pembekal tayar tunggal baharu dan bahan api bukan fosil sepenuhnya mula digunakan.