Juara Wimbledon 2023 Vondrousova digantung empat tahun
Oleh Lee Seng Foo20 jam lalu
(AELTC/Ben Solomon)
Bekas juara Wimbledon, Marketa Vondrousova, dikenakan penggantungan selama empat tahun daripada tenis profesional selepas enggan menjalani ujian doping.
Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan tribunal bebas mendapati pemain dari Republik Czech itu melanggar peraturan doping selepas menolak untuk memberikan sampel semasa ujian di luar pertandingan yang dijalankan di kediamannya pada Disember 2025.
Di bawah peraturan doping, keengganan menjalani ujian membawa hukuman yang sama seperti keputusan ujian positif.
Vondrousova, yang mencipta sejarah sebagai pemain wanita bukan pilihan pertama memenangi Wimbledon apabila menewaskan Ons Jabeur di final 2023, berhujah bahawa tekanan, masalah kesihatan mental dan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya mempengaruhi keputusan tersebut.
Bagaimanapun, tribunal berkenaan memutuskan bahawa alasan yang dikemukakan tidak cukup kukuh untuk membenarkan tindakannya menolak ujian tersebut.
Pemain berusia 26 tahun itu pernah menduduki ranking tertinggi kerjaya di tangga keenam dunia pada September 2023. Selain kejayaan di Wimbledon, beliau turut muncul naib juara Roland Garros pada 2019 serta memenangi pingat perak Olimpik di Tokyo pada 2021.
Penggantungan tersebut akan berkuat kuasa sehingga Jun 2030, namun Vondrousova masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Bekas pemain No. 7 dunia, David Goffin, dan pilihan utama Francisco Comesana menjadi antara nama besar yang tersingkir seawal pusingan pertama kelayakan Wimbledon pada Isnin.
Goffin, yang mengumumkan akan menamatkan kariernya pada penghujung musim 2026, tewas 3-6, 7-5, 6-2 kepada pemain Itali, Andrea Guerrieri.
Comesana, yang hadir ke Roehampton sebagai pemain dengan ranking tertinggi dalam saingan kelayakan lelaki tahun ini, pula terpaksa akur 4-6, 7-6(5), 6-4 kepada pemain Sepanyol, Alejandro Moro Canas.
Turut mengalami nasib sama ialah pilihan keenam, Nikoloz Basilashvili. Bekas pemain No. 16 dunia itu tewas kepada Elias Ymer dari Sweden yang bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menang 2-6, 6-3, 7-6(8).
Hari pembukaan kelayakan turut menyaksikan beberapa lagi pemain pilihan tersingkir, termasuk Coleman Wong (keempat), Henrique Rocha (kesembilan), Francesco Maestrelli (ke-10) dan Facundo Diaz Acosta (ke-12).
Namun tidak semua pemain pilihan berdepan kesukaran apabila beberapa nama berpengalaman berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Pilihan ke-22, Dusan Lajovic, menewaskan Lukas Neumayer dari Austria 6-4, 6-4, manakala Roman Safiullin ( ke-15) dan Tomas Barrios Vera ( ke-20) turut mara.
Kem tuan rumah turut menerima khabar gembira apabila bekas pemain No. 21 dunia, Daniel Evans, menewaskan Juan Carlos Prado Angelo dalam straight set.
Max Basing, Billy Harris, Paul Jubb, Henry Searle dan Oliver Tarvet turut melepasi halangan pertama masing-masing.
Saingan kelayakan lelaki bersambung dengan pusingan kedua pada Rabu, manakala kelayakan wanita bermula pada Selasa dan akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Pemain perlu memenangi tiga perlawanan untuk merebut salah satu daripada 16 tempat yang ditawarkan dalam pusingan utama Wimbledon minggu depan.
Saingan MotoGP kembali ke Assen hujung minggu ini sempena Grand Prix Belanda, antara perlumbaan paling bersejarah dalam kalendar dan litar yang terkenal dengan gelaran Cathedral of Speed.
Menjelang aksi hujung minggu yang akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW, berikut lima perkara menarik yang wajar diberi perhatian.
Grand Prix Belanda bakal menjadi perlumbaan pertama tanpa penggunaan peranti holeshot hadapan selepas MotoGP memutuskan untuk mempercepatkan pelaksanaan larangan tersebut.
Peraturan itu pada asalnya dijadualkan berkuat kuasa pada penghujung musim, namun beberapa insiden yang berlaku di Barcelona dan Hungary bulan lalu menyaksikan keputusan tersebut dibawa ke hadapan. Johann Zarco mengalami kecederaan di Barcelona, manakala kemalangan melibatkan Jorge Martin di Hungary turut menyebabkan beberapa pelumba lain terlibat.
Kebangkitan Marc Marquez dan peningkatan prestasi Aprilia banyak mencuri perhatian musim ini, namun Francesco Bagnaia sebenarnya semakin menunjukkan tanda-tanda kebangkitan.
Selepas gagal menamatkan tiga daripada lima perlumbaan pembukaan musim, pelumba Ducati itu kini mencatat empat penamat podium berturut-turut sejak Grand Prix Catalunya. Ia merupakan rentetan podium terpanjangnya dalam satu musim sejak penghujung kempen 2024. Beliau turut meraih kemenangan Sprint pertamanya musim ini di Brno
Selain itu, Assen juga merupakan antara litar yang paling digemarinya. Pelumba Itali itu memenangi tiga daripada empat Grand Prix Belanda terakhir, menjadikannya antara pencabar utama hujung minggu ini.
Aksi di Assen tidak hanya melibatkan MotoGP, Moto2 dan Moto3 apabila Red Bull MotoGP Rookies Cup serta Harley-Davidson Bagger World Cup turut menjadi sebahagian daripada jadual perlumbaan hujung minggu ini.
Perhatian turut diberikan kepada Jordi Torres yang menggantikan Cody Wyman bersama Joe Rascal Racing sehingga penghujung musim. Beliau akan menyertai persaingan bersama dua pelumba teratas kejuaraan ketika ini, Archie McDonald dan Eric Granado.
Rekod Marquez di Assen lebih baik daripada yang disangka
Assen sering dianggap antara litar yang kurang sesuai buat Marc Marquez berikutan jumlah selekoh kanan yang banyak serta rekod kemenangannya yang tidak begitu menonjol di venue tersebut.
Namun statistik menunjukkan gambaran yang berbeza. Sejak membuat penampilan sulung dalam MotoGP pada 2013, Marquez hanya dua kali menamatkan perlumbaan di luar kelompok podium di Assen. Tiga lagi penampilannya tanpa podium pula berpunca daripada kecederaan atau gagal memulakan perlumbaan.
Grand Prix Belanda dipilih sebagai acara terbaik dalam kalendar MotoGP 2025 selepas menerima undian tertinggi berbanding 21 pusingan lain. Pengiktirafan itu hadir tidak lama selepas Assen meraikan 100 tahun perlumbaan motosikal di wilayah berkenaan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara litar paling ikonik dalam sejarah sukan permotoran.
Kembalinya Serena Williams ke saingan perseorangan Wimbledon pada 2026 menambah satu lagi kisah menarik dalam sejarah panjang wildcard yang diberikan oleh All England Club.
Juara 23 gelaran Grand Slam itu menerima wildcard perseorangan selepas mengesahkan penyertaannya dalam saingan beregu bersama kakaknya, Venus Williams.
Walaupun wildcard sering menjadi bahan perdebatan, Wimbledon kerap menggunakannya untuk memberi peluang kepada bekas juara, pemain yang kembali beraksi atau mereka yang kedudukan rankingnya tidak menggambarkan sepenuhnya pencapaian dan keadaan sebenar.
Sepanjang sejarah kejohanan, beberapa keputusan tersebut akhirnya menghasilkan antara kisah paling diingati di Wimbledon.
Goran Ivanisevic (2001)
Tiada wildcard Wimbledon yang memberikan impak lebih besar daripada Goran Ivanisevic pada 2001. Bekas finalis tiga kali itu tiba di All England Club dengan ranking dunia ke-125 selepas dibelenggu kecederaan sepanjang musim.
Atas rekod cemerlangnya di Wimbledon, pemain Croatia itu diberikan wildcard untuk beraksi. Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya apabila Ivanisevic mencipta salah satu kisah paling luar biasa dalam sejarah Grand Slam dengan muncul juara Wimbledon.
Sehingga hari ini, beliau masih kekal sebagai satu-satunya pemain yang pernah memenangi gelaran Grand Slam perseorangan menerusi wildcard.
Juan Carlos Ferrero (2009)
Ferrero menerima wildcard selepas rankingnya merosot di luar kelompok 90 terbaik dunia. Walaupun lebih dikenali sebagai pakar gelanggang tanah liat, bekas pemain No. 1 dunia itu mencipta antara kempen wildcard lelaki paling berjaya sejak kejayaan Ivanisevic.
Beliau menewaskan Gilles Simon dan Fernando Gonzalez sebelum mara ke suku akhir, di mana perjalanannya berakhir di tangan Andy Murray. Walaupun kalah, prestasi tersebut turut membantu kebangkitan semula kariernya.
Zheng Jie mencipta salah satu pencapaian wildcard paling luar biasa pada 2008. Pemain China itu mengejutkan pilihan utama Ana Ivanovic pada pusingan ketiga sebelum mara ke separuh akhir.
Walaupun tewas kepada Serena Williams, Zheng menjadi pemain wildcard wanita pertama yang mara ke separuh akhir Wimbledon serta pemain China pertama mencapai tahap tersebut dalam kejohanan Grand Slam.
Pat Cash (1986)
Kecederaan dan pembedahan apendiks menyebabkan Pat Cash terpaksa bergantung kepada wildcard untuk beraksi di Wimbledon pada 1986.
Pemain Australia itu membalas kepercayaan tersebut dengan menewaskan pilihan kedua, Mats Wilander, sebelum mara ke suku akhir. Setahun kemudian, Cash kembali sebagai pemain pilihan dan berjaya menjulang trofi Wimbledon.
Emma Raducanu, Naomi Osaka, Caroline Wozniacki & Angelique Kerber (2024)
Wildcard wanita Wimbledon 2024 dianggap antara keputusan paling berjaya dalam sejarah moden kejohanan itu. Keempat-empat pemain merupakan juara Grand Slam, namun kedudukan ranking mereka terjejas akibat kecederaan, cuti bersalin atau tempoh berehat daripada sukan.
Raducanu kembali selepas beberapa pembedahan, Osaka dan Kerber menyambung semula karier selepas melahirkan anak, manakala Wozniacki meneruskan kemunculannya selepas bersara.
Daripada kesemua penerima wildcard perseorangan pada tahun tersebut, Raducanu mencatat pencapaian terbaik apabila mara ke pusingan keempat.
Hakim Danish mencipta sejarah apabila muncul sebagai pelumba Asia Tenggara ketiga memenangi perlumbaan Grand Prix selepas menjuarai saingan Moto3 di Grand Prix Czechia pada Ahad.
Pelumba Malaysia berusia 18 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang di Brno apabila bangkit dari petak ke-14 untuk meraih kemenangan sulung dalam kariernya.
Danish sebenarnya layak di barisan hadapan, namun dikenakan penalti kelayakan yang menyaksikannya diturunkan ke petak ke-14 sebelum perlumbaan bermula.
Bagaimanapun, pelumba AEON Credit–MT Helmets–MSi itu berjaya memintas beberapa pencabarnya sebelum melintasi garisan penamat di hadapan Brian Uriarte dan Maximo Quiles.
Pelumba Indonesia, Veda Pratama, turut mencuri perhatian apabila mencatat pusingan terpantas perlumbaan dan menamatkan saingan di tempat kelima, sekali gus menyaksikan dua wakil Asia Tenggara berada dalam kelompok lima terbaik.
Kemenangan tersebut meletakkan Danish dalam kelompok kecil pelumba Asia Tenggara yang pernah memenangi perlumbaan Grand Prix.
Sebelum ini, hanya dua pelumba dari rantau ini pernah muncul juara dalam kategori Kejuaraan Dunia MotoGP moden.
Khairul Idham Pawi menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi Grand Prix apabila menjuarai perlumbaan Moto3 di Argentina dan Jerman pada 2016.
Somkiat Chantra pula mencipta sejarah sebagai pelumba Thailand pertama memenangi Grand Prix selepas menjuarai perlumbaan Moto2 di Indonesia pada 2022 sebelum menambah satu lagi kemenangan di Jepun pada musim berikutnya.
Setakat ini, belum ada pelumba Asia Tenggara yang berjaya memenangi perlumbaan kelas premier.