Newcastle Jets mengesahkan kedudukan teratas A-League buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Pasukan kendalian Mark Milligan itu memastikan gelaran liga menjadi milik mereka dengan satu perlawanan berbaki selepas seri 2-2 dengan Melbourne Victory, disusuli kekalahan 1-0 Auckland FC kepada Central Coast Mariners.
Kejayaan itu turut memastikan The Jets layak terus ke separuh akhir saingan Finals, selain mengesahkan tempat dalam AFC Champions League Elite 2026/27.
Ia menjadi kejayaan kedua mereka musim ini selepas menjuarai Australia Cup 2025.
Majlis penyampaian trofi tersebut akan diadakan selepas perlawanan Newcastle Jets menentang Central Coast Mariners di Stadium McDonald Jones pada 25 April.
Kyle Kuzma menyertai Sierra Racing Club sebagai pemilik bersama dan duta jenama global dalam saingan E1 Series, sekali gus bergandingan dengan penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois.
Pengumuman itu dibuat pada hari Rabu, dengan pemain Milwaukee Bucks itu menjadi antara nama besar terbaharu yang melabur dalam kejuaraan perlumbaan bot elektrik sepenuhnya tersebut.
“Saya seorang yang kompetitif. Apabila saya melihat apa yang sedang dibangunkan Sierra Racing Club bersama E1, keputusan [untuk menyertai mereka] memang tidak sukar,” kata pemain berusia 30 tahun itu.
Kuzma, yang pernah memenangi kejuaraan NBA bersama Los Angeles Lakers pada 2020, kini menyertai senarai panjang ikon sukan dan selebriti dunia yang terlibat dalam siri tersebut, termasuk Rafael Nadal, LeBron James, Tom Brady, Didier Drogba dan Virat Kohli.
Musim E1 Series 2026 membuka tirai di Jeddah pada Januari lalu, dengan Aoki Racing Team muncul pemenang pusingan pertama.
Kejuaraan itu akan diteruskan di Lake Como, Itali dari 24 hingga 25 April, dan boleh disaksikan secara langsung di SPOTV NOW.
Canelo Álvarez mencuri perhatian apabila membuat penampilan mengejut dalam acara Pro-Am LIV Golf Mexico City pada hari Rabu, sekali gus menambah kemeriahan menjelang kejohanan minggu ini.
Bintang tinju itu mempamerkan kemahiran golfnya di Playa del Carmen, menyertai barisan peserta terkenal termasuk legenda bola sepak Jorge Campos, wartawan ESPN John Sutcliffe serta pempengaruh Karol Priscilla dan Hoyzie.
Álvarez, yang memang dikenali sebagai peminat golf di luar gelanggang tinju, mendapat sambutan hangat daripada peminat tempatan, dengan kehadirannya menyemarakkan lagi suasana menjelang kembalinya LIV Golf ke Mexico.
Sesi Pro-Am tersebut berfungsi sebagai pembuka tirai sebelum kejohanan utama, dengan saingan LIV Golf kembali bersambung selepas berakhirnya Masters Tournament 2026.
Selepas lima pusingan musim LIV Golf 2026, Ripper GC kini mendahului kedudukan pasukan, diikuti 4Aces GC dan Crushers GC, manakala Jon Rahm dari Legion XIII mendahului carta individu.
Aprilia muncul sebagai pasukan paling menonjol pada permulaan musim MotoGP 2026, dengan Marco Bezzecchi memenangi ketiga-tiga pusingan awal di Thailand, Brazil dan Amerika Syarikat.
Konsistensi pelumba Itali berusia 27 tahun itu, bersama peningkatan prestasi pasukan serta sokongan kuat daripada Jorge Martín, melonjakkan Aprilia ke tangga teratas kedudukan pelumba, pasukan dan pengeluar.
Sebaliknya, juara Triple Crown musim lalu, Ducati, berdepan permulaan sukar apabila Marc Márquez bersama barisan pelumba utama dan satelit mereka gagal menandingi kepantasan Aprilia di kelompok hadapan.
Perubahan ini lebih ketara jika dibandingkan dengan tempoh sama musim lalu. Bezzecchi mengutip tambahan 57 mata berbanding pencapaiannya selepas tiga pusingan pada 2025 — peningkatan kedua terbesar di grid di belakang Martín (+77), yang tidak mengutip sebarang mata pada tahap sama musim lalu akibat kecederaan.
Sementara itu, Marc kehilangan 41 mata berbanding musim lalu, dengan hanya Álex Márquez (-59) dan Francesco Bagnaia (-50) mencatat penurunan lebih besar.
Dengan saingan Eropah bakal bermula di Sepanyol hujung April ini, tumpuan kini terarah sama ada Ducati mampu bangkit atau dominasi awal Aprilia akan berterusan sepanjang musim.
Berikut perubahan kedudukan selepas tiga pusingan pertama berbanding musim 2025:
Pemenang dua pingat emas Olimpik dan bekas juara dunia, Viktor Axelsen, mengumumkan persaraannya daripada badminton pada hari Rabu, sekali gus menutup tirai karier gemilangnya.
Pemain Denmark berusia 32 tahun itu membuat pengumuman tersebut menerusi media sosial rasminya, dengan masalah kecederaan yang berulang menjadi faktor utama.
“Selepas menjalani pembedahan endoskopik, beberapa suntikan, kaedah latihan baharu, rawatan, dan mencuba pelbagai cara untuk bebas daripada kesakitan sejak sekian lama, saya dinasihatkan untuk memberi tumpuan kepada kesihatan jangka panjang,” katanya.
“Menerima situasi ini bukan sesuatu yang mudah. Namun saya kini berada di tahap di mana badan saya tidak lagi mengizinkan untuk terus beraksi.”
Walaupun terpaksa bersara, Axelsen meluahkan rasa bangga terhadap pencapaiannya dan menegaskan beliau akan terus kekal dekat dengan dunia badminton.
“Apabila melihat kembali perjalanan ini, saya berasa amat bangga, tetapi lebih daripada itu, saya bersyukur,” tambahnya.
“Saya telah mencapai segala yang pernah saya impikan, malah lebih lagi. Saya berpeluang beraksi di pentas terbesar dan memenangi perlawanan yang menjadi impian setiap pemain.
“Sepanjang perjalanan ini, badminton mengajar saya banyak perkara yang melangkaui sukan — tentang disiplin, pengorbanan, ketabahan dan siapa diri saya sebagai individu.
“Ini mungkin perpisahan buat Viktor Axelsen sebagai pemain, tetapi bukan selamat tinggal sepenuhnya kepada badminton. Saya akan tetap bersama sukan ini dalam apa jua cara.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanannya, termasuk para peminat.
Penampilan terakhirnya dalam Jelajah Dunia BWF adalah di Terbuka Perancis 2025, di mana beliau tewas kepada Shi Yu Qi di peringkat separuh akhir.
Beliau juga beraksi di BXL Jakarta 2025, yang menjadi penampilan kompetitif terakhirnya sebelum mengumumkan persaraan.
Axelsen menjadi nama besar terbaharu yang meninggalkan gelanggang badminton tahun ini selepas Carolina Marin.