Cristiano Ronaldo mengesahkan bahawa Piala Dunia FIFA 2026 akan menjadi penampilan terakhirnya di pentas berprestij itu.
Dalam wawancara bersama CNN pada Selasa, penyerang Al-Nassr itu ditanya sama ada edisi 2026 bakal menjadi Piala Dunia terakhirnya, dan beliau menjawab, “Sudah tentu, ya.”
“Saya akan berusia 41 tahun dan saya rasa itu detik paling sesuai untuk menamatkan penyertaan di kejohanan tersebut,” kata pemenang Ballon d’Or lima kali itu.
“Saya masih menikmati detik-detik ini, tetapi apabila saya kata ‘tidak lama lagi’, memang betul-betul tidak lama sebab saya dah berikan segala-galanya untuk bola sepak.”
Keputusan itu bermakna bintang Portugal itu, yang telah beraksi dalam lima edisi Piala Dunia sebelum ini, secara tidak langsung menutup peluang tampil pada edisi 2030 yang bakal dianjurkan oleh Portugal, Sepanyol dan Maghribi.
Portugal kini berada di ambang melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 selepas mengetuai Kumpulan F dengan 10 mata, lima mata di hadapan Hungary dengan dua perlawanan berbaki.
Kemenangan ke atas Republik Ireland pada Khamis akan mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara kumpulan.
Football superstar @Cristiano Ronaldo has told CNN that the 2026 FIFA World Cup will “definitely’ be his last.
“I will be 41 years old and I think will be the moment in the big competition,” Ronaldo told @BeckyCNN in a virtual interview today. pic.twitter.com/4LESJzMFH4
— CNN International PR (@cnnipr) November 11, 2025



