Penganjuran Sukan SEA 2025 kini berdepan ketidakpastian apabila banjir besar terus melanda Thailand, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesiapsiagaan negara itu sebagai tuan rumah temasya dwi tahunan tersebut.
Thailand adalah tuan rumah edisi ke-33 Sukan SEA dengan acara berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
Pertandingan dijadualkan bermula secara tidak rasmi pada 3 Disember dan berlangsung selama 17 hari.
Namun, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air termasuk Songkhla, yang diumumkan kerajaan Thailand sebagai zon bencana pada Selasa.
Media tempatan melaporkan beberapa acara yang dijadualkan berlangsung di wilayah itu, termasuk bola sepak, pencak silat, karate, wushu, gusti dan Muay Thai, terpaksa dipindahkan ke venue lain.
Jabatan meteorologi memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka berlarutan sehingga awal 2026, sekali gus meningkatkan risiko gangguan tambahan serta pelarasan logistik saat akhir.
Pihak penganjur dijangka mengeluarkan perkembangan lebih jelas mengenai nasib temasya Asia Tenggara itu dalam masa terdekat.



