‘Macam Star Wars!’ – Coulthard kagum dengan Gen4 Formula E

Bekas pelumba Formula One (F1), David Coulthard, mengakui teruja selepas berpeluang menguji jentera Gen4 Formula E di jalanan Monte Carlo sempena hujung minggu Monaco E-Prix.

Pemenang 13 Grand Prix F1 itu diberi peluang memandu jentera generasi baharu Formula E yang bakal digunakan mulai musim depan dan disebut-sebut sebagai kereta terpantas pernah dibangunkan dalam sejarah kejuaraan itu.

Bagi Coulthard, pengalaman memandu Gen4 di litar jalan raya Monaco memberikan sensasi yang jauh berbeza daripada apa yang pernah dirasainya sebelum ini.

“Itu pecutan paling luar biasa yang pernah saya rasai di Monte Carlo, sedangkan saya pernah menang dua kali di sini,” katanya.

“Daripada apa yang saya alami tadi, dan membayangkan bagaimana pelumba Formula E sebenar akan memandunya, mereka bakal merasai sesuatu yang belum pernah wujud dalam perlumbaan.

“Gen4 bukan sekadar lebih laju. Cara kereta ini bergerak juga berbeza, terutama dengan pacuan empat roda kekal. Setiap kali keluar dari selekoh, pecutannya benar-benar memberi rasa yang lain.”

Coulthard berkata antara detik paling mengagumkan ialah ketika melalui terowong ikonik Monaco, apabila lonjakan kelajuan jentera itu membuatkannya terkejut.

“Kali pertama saya masuk ke terowong itu, rasanya macam adegan Star Wars apabila semuanya tiba-tiba bergerak pada kelajuan warp,” katanya.

“Saya sudah melalui terowong itu beribu kali, tetapi saya tidak pernah mengalami sensasi seperti itu.”

Gen4 dianggap sebagai langkah besar buat Formula E, dengan peningkatan dari segi prestasi, pecutan dan teknologi yang dijangka membawa kejuaraan itu ke tahap baharu.

Komen positif Coulthard hadir ketika Formula E terus mencuri perhatian, termasuk selepas juara dunia F1, Lando Norris, baru-baru ini turut menyuarakan minat untuk mencuba siri perlumbaan elektrik tersebut.

Jorge Martin: From Heaven to Hell

Coming into the season as the reigning World Champion, the Spaniard endured a nightmare year, as injury derailed his debut campaign with Aprilia

SPOTV NOW