COTA, Zandvoort bakal debut dalam musim Formula E 2026/27

(ABB Formula E)

Formula E akan membuat penampilan sulung di Circuit of the Americas (COTA) dan Zandvoort selepas kalendar musim 2026/27 diumumkan pada Selasa.

Musim ke-13 kejohanan dunia perlumbaan elektrik itu akan menampilkan 21 perlumbaan di 13 venue, selain menjadi permulaan era baharu dengan pengenalan peraturan Gen4.

Evolusi baharu itu menyaksikan peningkatan kuasa jentera serta sistem pacuan empat roda kekal, manakala beberapa pusingan terpilih turut menampilkan format perlumbaan pecut dikenali sebagai E-Prix Unleashed.

Litar-litar seperti Mexico City, Monaco, Berlin dan Shanghai kekal dalam kalendar, manakala Brands Hatch menggantikan litar jalanan ExCeL London sebagai pusingan di United Kingdom.

Musim akan bermula dengan perlumbaan berganda di Jeddah pada Disember 2026 sebelum berakhir dengan pusingan berganda di Tokyo pada Julai 2027.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Formula E (@fiaformulae)

“Kami amat berbangga untuk memperkenalkan kalendar paling besar dan paling bercita-cita tinggi setakat ini,” kata Ketua Pegawai Kejuaraan Formula E, Alberto Longo.

“Setiap lokasi dalam kalendar ini dipilih bagi memastikan aksi perlumbaan yang maksimum.

“Pembukaan musim di Jeddah di bawah lampu limpah, yang pertama seumpamanya untuk kami, akan mempamerkan kelajuan jentera GEN4, manakala susunan perlumbaan mengikut kelompok benua membantu kami mengekalkan aspek kelestarian.”

“Litar kini lebih laju, persaingan lebih sengit, dan kami tidak sabar untuk memulakan musim bersejarah ini.”

Musim 2025/26 masih berlangsung dengan tiga hujung minggu perlumbaan berganda di China, Jepun dan United Kingdom yang akan datang, dan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.

Selepas E-Prix Sanya 2026, pemandu Jaguar TCS Racing, Mitch Evans, mendahului kejuaraan dengan 128 mata, manakala juara bertahan Oliver Rowland berada 19 mata di belakang di tempat kedua.