Jurulatih Dion Cools dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi

(Cerezo Osaka/Facebook)

Pengendali Cerezo Osaka, Arthur Papas, dilaporkan menjadi antara calon yang sedang dipertimbangkan untuk mengendalikan kelab Liga Pro Saudi, Al Ettifaq.

Menurut laporan media tempatan, Al Ettifaq dijangka tidak menyambung kontrak jurulatih semasa, Saad Al-Shehri, meskipun beliau berjaya membawa pasukan itu menamatkan musim di tangga ketujuh liga serta layak ke AGCFF Gulf Club Champions League musim depan.

Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, Papas bakal kembali ke Al Ettifaq selepas pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih kelab tersebut pada musim 2016/17.

Jurulatih dari Australia itu baru-baru ini dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Divisyen Barat J.League selepas membimbing Cerezo Osaka menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam saingan khas J1 100 Year Vision League.

Papas mengemudi skuad yang dibarisi beberapa nama berpengalaman termasuk bekas pemain antarabangsa Jepun, Shinji Kagawa, serta kapten Malaysia, Dion Cools.

Pengendali berusia 46 tahun itu sebelum ini turut mencipta kejayaan bersama Buriram United apabila membawa kelab Thailand tersebut menjuarai Thai League 1 musim 2023/24.

Beliau juga pernah menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Yokohama F. Marinos ketika kelab berkenaan menjuarai J1 League pada 2019.